Paip Baharu Sudah Siap Dipasang Tetapi Bekalan Air Masih Belum Ada – Ruslan

Hj-Ruslan.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam mencadangkan kepada Kerajaan untuk membina loji air mini baharu di sepanjang Jalan Gadong sebagai penyelesaian kepada masalah bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

Katanya, di dalam DUN Lumadan terdapat sebuah loji air swasta iaitu Loji Lawa yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan yang membekalkan air ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Loji swasta di Kg. Lawa, Gadong ini, yang berusia lebih 30 tahun mendapat sumber air daripada Sungai Padas dan ia terus beroperasi tanpa masalah di musim kemarau mahupun ketika banjir, kata beliau, sambil menambah loji tersebut sentiasa dapat memproses air dan membekalkan kepada WP Labuan.

Beliau memohon agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempertimbangkan untuk mewujudkan loji baharu di dalam DUN Lumadan demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Ruslan, masalah bekalan air ini telah menjejaskan lebih kurang 5,000 orang penduduk di lima kampung iaitu Kg. Suasa, Kg. Mintulud, Kg. Kangsa, Kg. Kapawa dan Kg. Bintuka.

Katanya, pemasangan batang paip baharu sudah dibuat tetapi belum ada air.

“Penduduk kampung terpaksa hidup dengan mengharapkan air perigi, air hujan dan air daripada mesin (menggunakan duit siling) itu pun perlu keluar ke Pekan Beaufort”, jelas beliau.

Tambahnya, beliau difahamkan oleh Jabatan Air Beaufort bahawa punca kepada masalah ini ialah kerana tekanan air yang rendah sehingga air tidak dapat disalurkan.

“Pemasangan batang paip baharu sudah dilaksanakan sepenuhnya sejak Julai, tahun 2019 lagi.

“Berapa lama lagi penduduk hidup seperti ini?” soal Ruslan yang telah membangkitkan perkara ini semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baharu sahaja selesai pada Khamis.

Ruslan berharap agar keluhan dan rintihan dapat diatasi demi kesejahteraan rakyat dalam DUN Lumadan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top