Padang bola sepak bernilai RM200,000 bakal dibina di Kg Bukau – Ruslan

haji-ruslan-muharam.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Bagi memenuhi keperluan bersukan golongan belia dan aktiviti riadah masyarakat di Kampung Bukau, sebuah padang bola sepak bakal dibina di kawasan ini tahun depan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, peruntukan ADUN sebanyak RM200,000 akan digunakan membiayai projek berkenaan.

“Kita sudah kenal pasti tanah rizab kerajaan seluas 15 ekar di kawasan ini untuk pembinaannya melibatkan kerja-kerja menambak tanah dan menanam rumput.

“Projek ini akan dimulakan tahun depan sebaik proses berkaitan selesai khususnya melibatkan kesahihan status tanah terbabit daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bersama Rakyat di Dewan Kampung Bukau, baru-baru ini.

Dalam pada itu Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, beliau juga bercadang membina sebuah dewan terbuka pelbagai guna di lokasi sama untuk kegunaan penduduk dan masyarakat setempat.

Beliau berkata, kemudahan seluas 5,000 kaki persegi itu dapat memenuhi keperluan sukan ‘indoor’ termasuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan mampu menampung sehingga 300 orang dalam satu masa.

“Sebaik padang bola sepak ini siap, kita bercadang bina dewan terbuka di lokasi sama dengan kos sebanyak RM200,000 juga di bawah peruntukan ADUN.

“Pada masa sama, kita turut merancang membina sebuah masjid baharu Kampung Bukau di kawasan sama menggantikan masjid sedia ada yang agak kecil.

“Semua projek ini kita akan laksanakan secara berperingkat pada tahun depan iaitu didahului dengan pembinaan padang bola sepak seterusnya dewan terbuka dan terakhir masjid baharu ini,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top