KOTA KINABALU: Jabatan Arkib Negeri menjemput orang ramai hadir ke pameran tentang pembentukan Malaysia pada 12 sehingga 15 September ini.
Pengarah Arkib Negeri Sabah, Shirley Sion berkata, pameran akan bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang dalam tempoh empat hari itu yang dijayakan bersama-sama Jabatan Muzium Sabah, Balai Seni Lukis dan Pusat Biodiversiti Sabah.
“Bahan-bahan yang akan dipaparkan adalah berkisar tentang sejarah pembentukan Malaysia, artifak-artifak oleh Jabatan Muzium Sabah dan lukisan-lukisan Balai Seni Lukis yang menggambarkan Hari Malaysia, dan kemungkinan juga kami akan paparkan sedikit tentang keagungan Gunung Kinabalu.
“Selain itu, para pelajar dan orang ramai juga boleh menonton filem bersejarah di Teater Mini Arkib Negeri Sabah, dan inilah kelainan dari tahun sebelumnya, kerana buat pertama kalinya pameran Hari Malaysia ini diadakan di Arkib Negeri Sabah,” katanya.
Shirley menjemput orang ramai untuk bertandang ke Arkib Negeri Sabah kerana selain pameran, terdapat jualan bazar, pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik, treasure hunt, program Night at the Archives, pertandingan e-sukan, kuiz dan melukis berkonsepkan tema Malaysia Madani Jiwa Merdeka.
Menurutnya, selain pameran sejarah secara berterusan, pihaknya turut melaksanakan pendidikan arkib yang mengalu-alukan lawatan daripada pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk mengadakan lawatan bagi mendedahkan peranan serta fungsi jabatannya menyimpan khazanah negeri untuk rujukan masa depan. – Utusan Borneo