Orang Ramai Diingatkan Jangan Selenggara, Perbaiki Aset SESB

ir-Idris-Mohd-Noor.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Orang ramai tidak dibenarkan membaiki atau menjalankan sebarang kerja penyelenggaraan ke atas mana-mana aset Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Idris Mohd Noor (gambar) berkata kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan utiliti mereka – termasuk talian servis dan tiang elektrik di luar premis pelanggan – hanya boleh dilakukan oleh kakitangan SESB.

“Tiada orang lain dibenarkan untuk menjalankan sebarang kerja di hartanah SESB tanpa permit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan SESB telah dimaklumkan mengenai kejadian seumpama itu di negeri ini baru-baru ini.

Idris berkata hanya kontraktor yang dilantik SESB atau mereka yang mendapat kebenaran daripada SESB boleh berbuat demikian.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan risiko atau merosakkan harta benda SESB.

“Ini termasuk memancing atau berenang di kolam atau sungai berdekatan dengan tiang elektrik, menerbangkan layang-layang atau kapal terbang kawalan jauh berhampiran dengan mana-mana talian elektrik, sambungan elektrik haram atau mencuri elektrik dan lain-lain,” katanya.

Idris berkata SESB sedang giat mewujudkan kesedaran mengenai isu ini dan menyebarkan maklumat mengenai keselamatan apabila berurusan dengan barangan elektrik dan utiliti di pelbagai platform termasuk media sosial, akhbar dan siaran radio.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa demi keselamatan mereka sendiri, mereka perlu sentiasa menghubungi SESB jika ada kerja diperlukan pada utilitinya.

SESB boleh dihubungi di talian 15454 atau 088-51500 atau melalui WhatsApp di 019-852 5427.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top