Orang Awam Diminta Bantu Kesan Seorang Tahanan Yang Masih Bebas

wanted2.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Orang ramai diminta membantu polis dalam mengesan seorang lagi tahanan positif COVID-19 yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek yang dikenali sebagai Mohd Rahman Basir, 24, adalah tahanan di bawah kesalahan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, pasukan polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang masih giat memburu tahanan terbabit selepas melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi dari pusat kuarantin berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta segera menghubungi bilik gerakan IPD Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak bertindak melindungi tahanan berkenaan kerana ia boleh menyebarkan  dan menjangkiti virus COVID-19 kepada komuniti.

Dalam kejadian terbabit, suspek melarikan diri bersama tiga lagi tahanan lelaki bagaimanapun, ketiga-tiganya berjaya diberkas kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Polis berjaya menangkap tiga tahanan terbabit di Lorong Wijaya 1 Taman Wijaya Menggatal Kota Kinabalu dalam keadaan lengkap berpakaian kemaja-T dan berseluar. –Utusan Borneo

 

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top