OPSICS usaha kerajaan sifarkan keciciran Pelajaran – Suryady

Andi-OPSICS.jpg

Suryady (empat kiri) menyerahkan surat kelulusan masuk sekolah kepada salah seorang murid.

Kongsi Bersama

TAWAU: Program Operasi Sifar Cicir (OPSICS) adalah usaha kerajaan untuk memastikan semua anak-anak di negara ini mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, kerjasama semua pihak terutamanya jabatan kerajaan sangat diperlukan supaya usaha ini dapat mencapai matlamatnya.

Katanya, masalah anak-anak keciciran pelajaran di negeri ini sudah lama berlaku dan semakin serius terutamanya di kawasan pedalaman.

“Kita dapat lihat terdapat kanak-kanak yang terpaksa berhenti sekolah atas pelbagai faktor sama ada dokumentasi, kesulitan ekonomi dan sebagainya.

“Justeru, perlunya semua pihak berusaha untuk memastikan program OPSICS dilaksanakan dengan lebih kerap supaya dapat mengenalpasti punca-punca keciciran kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah berkata demikian ketika hadir dalam program OPSICS peringkat Zon Tanjung Batu, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, sebagai wakil rakyat di Parlimen Kalabakan sememangnya sangat mengalu-alukan program sebegini dilaksanakan dengan lebih kerap.

“Kita juga mahukan semua ibu bapa dan penjaga kanak-kanak yang tercicir pelajaran supaya tampil mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah kerajaan.

“Matlamat kerajaan adalah membina modal insan melalui pendidikan, sekali gus mensifarkan kanak-kanak tercicir daripada pelajaran,” katanya.

Suryady berkata, program OPSICS yang diadakan ini adalah yang ketiga dilaksanakan di Parlimen Kalabakan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Sehingga jam 1 petang ini, seramai 104 orang murid berjaya didaftarkan dan rata-rata ibu bapa yang ditemui mezahirkan rasa syukur dapat mendaftarkan anak mereka.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) memberikan tumpuan kepada tiga kategori iaitu murid-murid warganegara, permohonan murid tanpa dokumen dan permohonan murid bukan warganegara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan 2025 memberikan peruntukan besar kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ia diharapkan dapat mengatasi pelbagai masalah dalam sektor ini.

“Saya percaya pembangunan sekolah-sekolah di negeri Sabah dapat dilaksanakan supaya murid-murid mendapat kemudahan pendidikan yang sebaiknya.

“Sekolah-sekolah baharu juga perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah kekurangan kelas di negeri ini khususnya di Parlimen Kalabakan,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top