Ops Selamat 19 Sempena CNY: Polis Sabah Tingkatkan Rondaan, Penguatkuasaan

polis-ronda.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Polis Sabah meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di 30 lokasi ‘black spot’ yang dikenal pasti penyumbang kepada kemalangan sepanjang Op Selamat 19 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, operasi bermula semalam hingga 27 Januari itu membabitkan 33 pegawai dan 234 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah dibantu anggota dari cawangan lain.

Katanya, setiap petugas diarahkan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan operasi, berada di lokasi statik dan membuat rondaan di 30 lokasi ‘black spot’ yang dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan.

“Terdapat 30 lokasi ‘black spot’ yang dikenal pasti di Kontinjen Sabah membabitkan keseluruhan 602 kilometer iaitu 519 kilometer Jalan Persekutuan dan 83 kilometer Jalan Negeri.

“Ia bagi memastikan kelancaran pergerakan lalu lintas selain menurunkan kadar kemalangan maut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, selain memfokuskan kepada kelancaran lalu lintas dan menurunkan kadar kemalangan maut, matlamat operasi kali ini juga bertujuan mencegah jenayah seperti pecah rumah ke tahap paling minimum bertepatan dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi’.

Katanya, dalam usaha pencegahan jenayah pecah rumah, rondaan yang berterusan akan dijalankan bagi memantau premis dan kawasan perumahan yang ditinggalkan.

“Selain pegawai dan anggota Kontinjen Sabah, Op Selamat 19 turut dibantu agensi penguat kuasa lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan pihak berkuasa tempatan.

“Ia turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Dalam pada itu, Idris turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati serta sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Pemandu juga dinasihatkan supaya bersabar ketika memandu dan sekiranya membabitkan pemanduan jarak jauh, dapatkan rehat yang mencukupi.

“Kerjasama daripada semua masyarakat dalam memastikan keselamatan rumah dan premis daripada kejiranan juga amat diharapkan,” katanya.

Idris berkata, masyarakat juga boleh memaklumkan pergerakan cuti kepada polis di mana-mana balai polis berhampiran atau laman web PDRM. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top