KOTA KINABALU: Polis akan mengadakan operasi besar-besaran ke atas semua pusat hiburan di sini untuk memastikan mereka beroperasi secara sah dan mengikut peraturan sedia ada termasuk prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah memaklumkan ini susulan pemeriksaan mendapati ada pusat hiburan yang bukan sahaja beroperasi tanpa lesen yang sah dan melebihi had masa yang ditetapkan tetapi juga gagal memastikan pematuhan terhadap SOP.
Katanya, dalam satu pemeriksaan yang diketuainya sendiri ke atas sebuah pusat hiburan di sini kelmarin, sebanyak 29 orang – 17 lelaki dan 12 wanita berumur antara 22 hingga 61 tahun – telah dikenakan kompaun.
“28 daripada mereka yang merupakan pengunjung masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 kerana tiada penjarakan fizikal sementara pemiliknya dikenakan kompaun RM10,000 kerana beroperasi melebihi had masa,” katanya.
Tambahnya, seorang wanita warga asing yang berada di pusat hiburan tersebut dan dipercayai bekerja di sana turut ditahan.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati premis pusat hiburan tersebut beroperasi dengan hanya menggunakan lesen untuk kafe, dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” jelasnya.
Pemeriksaan ke atas premis tersebut dilakukan semasa Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) yang diketuai oleh Mohd Zaidi di enam kawasan “hotspot” daripada tengahmalam ke awal pagi kelmarin.
Kawasan tersebut ialah Kepayan Ridge, Tanjung Aru, Kampung Likas, Kingfisher, Inanam, Pekan Telipok, Manggatal, Rumah Kedai, Taman Cantik, Luyang dan Taman Kuala Manggatal, Manggatal.
Operasi turut dibantu Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD Kota Kinabalu, DSPJo AK Hang.
Sementara itu, mengulas berhubung OBCJ yang diadakan secara enam hari berturut-turut, bermula pada 27 Oktober lalu, Mohd Zaidi berkata, secara keseluruhannya 12 tangkapan berjaya dilakukan.
Katanya, 9 tangkapan membabitkan penagihan dan pemilikan dadah, sementara, tiga lagi kes melibatkan kes jenayah iaitu ugutan, pecah rumah dan memiliki harta pecah rumah.
“Pelaksanaan OBCJ menunjukkan trend penurunan kadar jenayah,” katanya, sambil menambah operasi tersebut juga diadakan untuk memastikan pematuhan terhadap SOP Fasa 3 PPN. – Warta Oriental