KOTA KINABALU: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melaksanakan operasi pembenihan awan selama tiga hari, bermula semalam, di tiga daerah terjejas kemarau di Sabah.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata operasi dijalankan di daerah Papar, Lahad Datu dan Tawau itu bertujuan mendapatkan sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan berikutan cuaca panas kini.
“Kemarau yang berlarutan sejak Februari lalu menyebabkan sejumlah 58,080 ketua isi rumah (KIR) dari 355 kampung di 12 daerah di Sabah berdepan masalah air, bahkan impak cuaca panas dan kering ini juga menyaksikan berlaku kebakaran hutan serta belukar di Sabah.
“Semoga pembenihan awan ini boleh membantu usaha meningkatkan kapasiti air kawasan tadahan hujan, dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bekalan Air Labuan.
Ia menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM yang berlepas dari Labuan dengan membawa empat tangki berisi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air.
Dalam pada itu, Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri yang memerlukan bantuan menjalankan operasi pembenihan awan, boleh mengemukakan cadangan kepada pihak NADMA untuk penilaian.
Beliau menjelaskan, ini kerana kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan, perlu dikaji terlebih dahulu oleh METMalaysia bagi menjamin kejayaan operasi itu.
“Kejayaan operasi pembenihan awan bergantung pada keadaan atmosfera yang sesuai, seperti kelembapan tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah.
“Faktor-faktor ini akan membantu membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,” katanya. – BERNAMA