Operasi Mencari Jude Angel Dihentikan

jude-angle.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Operasi pencarian Jude Angel Jeremy, 18 bulan, yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, di sini, sejak Sabtu lalu, yang masuk hari ke tujuh, berakhir petang Jumaat.

Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, perkara berkenaan hasil perbincangan antara bomba dan pihak polis.

Namun katanya, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan keluarga mangsa dan penduduk kampung dari semasa ke semasa.

“Pasukan bomba akan diletakkan dalam keadaan siap sedia menjalankan operasi pada bila-bila masa sekiranya ada sebarang kesan atau petunjuk baharu.

“Pasukan bomba juga akan mengerahkan anggota untuk mengambil maklumat terkini daripada keluarga mangsa setiap hari,” katanya ketika ditemui, di lokasi pencarian.

Mohammad Hasbullah berkata, operasi pencarian hari ini dijalankan dengan kekuatan 25 anggota bomba dan pegawai JBPM, Polis, Rela dan APM.

Selain itu katanya, operasi turut dibantu seramai 30 penduduk kampung yang menjalankan pencarian di kawasan sungai berhampiran.

“Bagaimanapun, operasi pencarian yang masuk hari ketujuh meliputi kawasan seluas 2 kilometer ini masih menemui jalan buntu,”katanya.

Sementara itu, ahli keluarga Jude Angel menegaskan, hanya media diperakui saja dibenarkan membuat liputan di kawasan mencari dan menyelamat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan keluarga mangsa itu berkata, tindakan berkenaan dibuat berikutan terdapat pihak yang membuat kenyataan yang tidak benar.

Malah katanya, ada juga pihak yang hanya sekadar mengambil kesempatan untuk membuat  ‘content’ di media sosial walaupun tidak berada di lokasi.

“Selain itu, kami menyedari ada juga pihak yang mengambil kesempatan walaupun tidak ada sebarang persetujuan daripada pihak keluarga mangsa.

“Ia bagi menghormati keluarga Baby Jude Angel yang masih bersedih dengan kejadian ini,”katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sekiranya ada pihaknya yang ingin menyumbang, ia boleh disalurkan menerusi akaun Public Bank 4975230222 atas nama Jurimi Sundang. – sabah360online

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top