Op Sarang Khas, serbu lokasi penagihan dadah di Menggatal

dadah-menggatal.jpg

Suspek yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dan menagih dadah diberkas dalam Op Sarang Khas di Menggatal.

KOTA KINABALU: Di sebalik pelbagai rintangan dan cabaran getir yang dihadapi pegawai dan anggota Polis Kontinjen Sabah, Op Sarang Khas berjaya mencapai objektifnya dan terkawal tanpa sebarang masalah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Asisten Komisioner Zulkepli Hashim berkata, Op Sarang Khas bertujuan membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Selain itu katanya, operasi itu dijalankan untuk membanteras kegiatan penjualan dan penagihan ketum serta serbuk ketum di sekitar lokasi yang dikenal pasti di Jalan Sepanggar Menggatal dekat sini.

Menurutnya, Op Sarang Khas dijalankan di sekitar Kampung Lok Buno dan Kampung Gentisan Jalan Sepanggar Menggatal dekat sini kelmarin.

“Antara cabaran dan rintangan dihadapi polis dalam operasi ini adalah mendaki bukit curam dengan kecerunan 54 darjah.

“Laluan dipenuhi kabel yang mengalirkan arus elektrik serta serpihan kaca sengaja diletakkan penjenayah untuk menghalang tugas polis.

“Bayangkan kalau anggota terpijak, kejutan elektrik ini boleh menyebabkan maut. Inilah laluan yang dihadapi pasukan narkotik kita untuk menjalankan tugas-tugas operasi di kawasan Sepanggar ini,” katanya.

Pihaknya yakin kabel berkenaan dipercayai digunakan oleh koloni setinggan yang mendiami kawasan di atas bukit di Sepangar untuk melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Beliau berkata, operasi terbabit melibatkan 37 pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Menurutnya, lokasi pertama yang diserbu adalah sekitar kawasan Kampung Lok Buno, Jalan Sepanggar yang dipercayai menjadi tempat pengedaran dan penyalahgunaan dadah jenis syabu.

Katanya, semasa operasi di Kampung Lok Buno, seramai 19 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Mereka yang ditahan adalah 14 rakyat tempatan dan lima warga asing termasuk empat warga Filipina dan seorang rakyat Indonesia.

“Lima warga asing itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya, ADB 1952,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, pengedar dadah didapati menggunakan modus operandi menjual syabu kepada pelanggan dari puncak sebuah bukit yang curam dengan kecerunan 54 darjah.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan muka bumi mencabar itu serta taktik penjenayah tidak menghalang tugas polis untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sini.

“Mereka ni ada banyak lapisan dari segi keselamatan antaranya seorang tunggu di bawah untuk tengok siapa yang datang. Lapisan kedua serpihan kaca dan yang ketiga arus elektrik.

“Sebenarnya kalau kita terpijak memang boleh membawa maut dan benda seperti ini pernah berlaku.

“Kalau kita tengok kawasan hutan ni, memang ada binatang-binatang berbisa dan kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk diserang haiwan berbisa seperti ular,” jelasnya.

Beliau berkata, operasi kedua dilancarkan di sekitar Kampung Gentisan Jalan Sepanggar Menggatal dan seramai enam lelaki ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti minum dan menjual air ketum.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan kesemua tangkapan dibawa ke BSJND Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Turut serta dalam operasi berkenaan wakil Rangkaian Media Prima Sabah dan Sarawak Mohd Yazzer Mahmun bersama pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan BSJND Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top