OLIMPIK: Chong Wei Kecewa Netizen Kutuk Pemain

badminton.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Lee Chong Wei, sedih dengan komen-komen negatif yang dilemparkan secara dalam talian terhadap pemain badminton negara.

Pemenang pingat perak Olimpik badminton perseorangan lelaki tiga kali itu berkata, sebagai bekas rakan sepasukan, beliau kecewa dengan jumlah komen dalam talian yang memberikan komen negatif terhadap pemain badminton, selepas kekalahan dalam perlawanan mereka di Tokyo.

“Saya amat terasa… Apa yang mahu saya katakan ialah, saya kenal mereka. Mereka turun ke gelanggang dengan hanya satu tujuan, satu sasaran. Untuk menang perlawanan demi bendera di dada, untuk buatkan kita bangga.

“Tiada atlet yang mahu kalah. Tetapi itulah kenyataan, setiap perlawanan, pasti ada yang kalah, ada yang menang. Kadang-kadang ia bukan hari kita. Yang layan depan TV pun dah kena sakit dada dan kecewa, apatah lagi pemain dalam gelanggang? Bukankah kita sepatutnya terus menyokong mereka?

“Tiada siapa yang mahu turun gelanggang dan kalah. Pemain-pemain ini pernah bawakan kegembiraan. Jangan kutuk dan tinggalkan mereka apabila mereka kalah satu perlawanan. Sokonglah mereka. Sokong Malaysia. Nota: Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, pemain muda, saya bangga terhadap kami. Rakyat Malaysia yang sejati, bangga dengan anda,” katanya dalam akaun media sosialnya.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Peng Soon-Liu Ying, gagal layak ke suku akhir acara beregu campuran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.

Selepas tewas pada perlawanan pertama kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21 semalam, pasangan nombor tujuh dunia itu tewas kepada pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 12-21, 15-21, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying akan menamatkan cabaran mereka di Olimpik dengan bertemu pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping, esok.

Sementara itu, Liu Ying yang bermain dengan keadaan kakinya yang cedera, memuat naik hantaran perasaan kecewanya di akaun Instagramnya, namun berazam untuk memberikan 100 peratus pada perlawanan terakhirnya.

“Selepas perlawanan, saya masih tidak boleh berasa tenang sehingga sekarang. Saya tahu jika kita kalah, kita kalah. Lawan kita tidak akan bersimpati hanya kerana kita cedera, tiada yang akan bertimbang rasa jika anda kalah.

“Lagipun, keputusan lebih penting dari perjalanannya. Anda boleh kata saya tidak bermain dengan baik, saya tidak berada dalam keadaan terbaik, tetapi jangan lupakan segala usaha saya. Saya lupakan tentang kecederaan saya. Biar saya katakan, saya amat kecewa dengan diri saya,” katanya.

Peng Soon turut memohon maaf kepada peminat kerana gagal capai apa yang diharapkan menerusi akaun media sosialnya.

“Ia bukanlah prestasi terbaik, jadi kami minta maaf. Kami juga mahu menang perlawanan ini dan telah berlatih untuk menghadapi Olimpik sejak sekian lama. Tidak mengapa Liu Ling, kita menang bersama dan kalah pun bersama,” katanya.

Selain Peng Soon-Liu Ying, pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga menghadapi nasib yang sama, selepas tewas perlawanan kedua Kumpulan A mereka ketika menentang pasangan nombor satu dunia Sayaka Hirota-Yuki Fukushima 21-17,15-21, 8-21.

Pasangan yang pertama kalinya layak ke Olimpik, sebelum itu tewas kepada pasangan Indonesia Greysia Polii-Apriayani Rahayu pada perlawanan permbukaan kumpulan pada Sabtu, berpeluang untuk sekurang-kurangnya menang satu perlawanan ketika bertemu pasangan Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith.

Hanya dua pasangan pada peringkat kumpulan layak ke suku akhir. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top