Nota Kabinet Dibentang Hari Ini, Beri Kefahaman Situasi Banjir di Sabah

dr-latiff.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Nota kabinet akan dibentangkan kepada kabinet hari ini supaya langkah pencegahan dan pemulihan bagi mengurangkan impak banjir dapat diwujudkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Difahamkan pembentangan itu susulan perbincangan dengan semua pihak terlibat untuk mengenal pasti isu utama banjir di daerah Penampang.

Abdul Latiff dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada Khamis berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor dan mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana diwakili oleh Setiausaha Negeri dan Persekutuan.

“Dengan itu, saya telah membuat satu nota kabinet yang akan dibentangkan esok (Jumaat) untuk memberikan kefahaman yang lebih baik kepada anggota kabinet mengenai kesan banjir itu.

“Saya pergi ke Kg Sugud, Penampang untuk melihat sendiri kesan bencana yang berlaku pada 15 September, beberapa jam sebelum Hari Malaysia dan telah membincangkan perkara itu dengan Pegawai Daerah Penampang.

“Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun telah berlaku di daerah Penampang pada hari itu, menyebabkan 13 tanah runtuh, yang pada masa yang sama menghalang penduduk daripada masuk dan keluar,” katanya.

Abdul Latiff berkata hujan lebat pada hari itu adalah sebanyak 100 mm sejam, biasanya hujan yang turun selama lebih daripada tiga bulan tetapi berlaku dalam hanya tiga jam.

“Banjir kilat itu telah menjejaskan sejumlah 27 kampung dan penempatan melibatkan 937 ketua isi rumah (KIR), daripada jumlah itu, 500 adalah KIR dari Kg Sugud dan sepuluh rumah dihanyutkan oleh banjir.

“Sejumlah 3,818 KIR telah diberi bantuan Bakul Makanan,” katanya sambil menambah bahawa permohonan daripada pihak berkaitan, terutamanya mengenai tindakan dan pemulihan bagi mengurangkan impak sekiranya berlaku insiden serupa pada masa akan datang, diberi perhatian serius.

Abdul Latiff berkata maklumat mengenai persiapan Sabah dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sebagai Sekretariat dalam menghadapi fasa Monsun Timur Laut(MTL) turut diperoleh.

“Kita masih dalam fasa monsun barat daya dan dalam beberapa tempoh kita akan berdepan peralihan monsun timur laut yang dijangka lebih teruk.

“Oleh itu, beberapa perkara yang turut dibincangkan semasa lawatan kerja ini adalah bagaimana Kerajaan Negeri membuat persediaan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan perubahan iklim.

“Ini adalah untuk mencegah situasi daripada menjadi lebih teruk semasa perubahan iklim pada masa hadapan, dan kita telah melaksanakan beberapa tindakan awal untuk menghadapi situasi ini, termasuk melatih kira-kira 8,000 anggota terdiri daripada APM, RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkata Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani banjir dan kemungkinan itu,” katanya.

Abdul Latiff berkata aset itu, termasuk yang digunakan di air dan darat, turut dilengkapkan bagi memastikan operasi menyelamat atau pemindahan lebih lancar semasa bencana banjir.

 

“MTL dijangka akan bermula pada awal November dan saya setakat ini berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua agensi untuk menghadapi impak kemungkinan bencana disebabkan MTL dan pada masa yang sama meneruskan perjuangan memerangi pandemik Covid-19.

“Untuk itu, peruntukan bagi memastikan operasi yang lancar semasa bencana alam telah diberikan kepada agensi terlibat untuk tindakan lanjut,” katanya. – DE/Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top