KLUANG; Gesaan agar Datuk Seri Dr Noraini Ahmad tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti bulan depan adalah satu tindakan yang tidak wajar.
Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, semua pihak perlu rasional, berlaku adil dan tidak menyalahkan Ahli Parlimen Parit Sulong itu disebabkan beberapa dakwaan yang tidak berasas.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu berkata, ini kerana beliau menerajui sayap itu sejak 2018 ketika keadaan parti tidak stabil dan tidak kuat apabila UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Selain itu kita juga dilanda pandemik Covid-19 selama dua tahun, ini membuatkan Wanita UMNO sukar untuk menganjurkan program. Zaman Noraini jadi Ketua Wanita UMNO banyak cabaran.
“Beliau sudah banyak berkorban dan melakukan yang terbaik untuk Wanita UMNO. Jadi kenapa pula nak desak beliau berundur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.
Pada Ahad, sebuah portal berita tempatan melaporkan, Wanita UMNO Titiwangsa menggesa supaya Noraini berundur supaya beliau dapat bertanggungjawab atau memperbetulkan salah laku sepanjang mengetuai sayap itu.
Pada Sabtu, dilaporkan majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian dilaporkan mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO selepas pemilihan parti itu bulan depan.
Sementara itu, Sharifah Azizah mengesahkan akan bertanding mempertahankan jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia yang disandangnya sejak 20 tahun lalu.
Katanya, ini kerana beliau masih memiliki jawatan dalam kerajaan dan kedudukan berkenaan akan digunakan untuk berkhidmat sebaik mungkin selain membalas jasa parti yang memberinya peluang tersebut. – SINAR HARIAN
Sharifah Azizah juga akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang yang disandangnya sejak 1993 namun sedia dicabar sekiranya ada mana-mana calon mahu berbuat demikian.