Nizam taja 100 kanak-kanak berkhatan di Kampung Titingan Tawau

Nizam-khatan.jpg

Nizam (dua kanan) menyiram kanak-kanak yang berkhatan sebagai simbolik perasmian majlis berkenaan.

Kongsi Bersama

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengambil inisiatif menaja seramai 100 orang kanak-kanak berkhatan di Kampung Titingan, di sini.

Nizam berkata, majlis berkhatan beramai-ramai ini adalah program tahunan yang diadakan setiap kali tiba musim cuti sekolah di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas.

Katanya, tajaan berkhatan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa terutamanya dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Menjelang musim cuti sekolah setiap tahun, kita akan bekerjasama dengan pemimpin di peringkat kampung ataupun masjid untuk menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai seperti ini.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada keluarga yang kurang berkemampuan dan ia akan dianjurkan di kampung-kampung di kawasan DUN Apas,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berkhatan beramai-ramai, di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan, di sini, kelmarin.

Menurutnya, majlis berkhatan secara beramai-ramai juga sudah menjadi aktiviti yang sangat popular di daerah ini terutamanya pada musim cuti sekolah.

“Kita dapat melihat banyak majlis sebegini diadakan di kawasan-kawasan lain sama ada ia dianjurkan oleh wakil rakyat atau pun badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya sangat gembira kerana penajaan berkhatan beramai-ramai ini semakin mendapat sambutan dan berharap ia akan terus menjadi aktiviti sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Nizam berkata, kerajaan negeri hari ini sangat komited menyantuni dan memenuhi keperluan rakyat dengan pelbagai bantuan yang disediakan.

“Sebab itu, semua wakil rakyat dari blok kerajaan diwajibkan untuk selalu turun padang bertemu rakyat dan mengetahui keperluan serta permasalahan penduduk di akar umbi.

“Saya percaya, kerajaan negeri akan terus menabur bakti dan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat sekiranya terus diberikan peluang untuk memerintah Sabah,” katanya.

 

–Hamzah Sanudin/Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top