Nizam sokong ketegasan kerajaan negeri lindungi sumber asli

datuk-nizam-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Apas, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, menyatakan sokongan padu terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk melindungi sumber asli negeri ini daripada sebarang eksploitasi tidak bertanggungjawab.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak dan. segala urusan berkaitan sumber mineral akan terus diurus dengan penuh integriti demi kesejahteraan rakyat Sabah.

Nizam menjelaskan bahawa pengeluaran lesen prospecting untuk tujuan kajian geomineral adalah amalan biasa dalam usaha memahami potensi sumber mineral negeri.

Oleh itu, beliau menyelar pihak tertentu yang menyebarkan tuduhan palsu melalui video dan propaganda politik, menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan memanipulasi fakta untuk mencetuskan keresahan rakyat.

“Tindakan seperti ini adalah tidak bertanggungjawab, malah ia bertujuan menggugat kestabilan politik negeri dan mencemarkan imej baik Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri atas komitmen berterusan terhadap prinsip ketelusan, keadilan, dan kejujuran dalam pengurusan sumber asli Sabah.

Nizam menyeru rakyat Sabah agar bersama-sama menyokong usaha kerajaan untuk memastikan kemajuan, kestabilan, dan kemakmuran negeri demi kepentingan generasi akan datang.

“Marilah kita bersatu hati untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang terus maju dan sejahtera,” tambahnya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top