NGO Saran Wujud Mekanisme Seragam Harga Barang Di Sabah

harga-barang.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan mekanisme penyeragaman harga barangan asas bersubsidi dan tidak bersubsidi di Sabah bagi memastikan harga keperluan asas berkenaan sentiasa terkawal dan mudah dipantau.

Presiden CFOS, Nordin Thani, berkata mekanisme itu perlu memandangkan harga barangan asas berkenaan terutama yang tidak bersubsidi bukan sahaja berbeza antara daerah di Sabah, malah turut berbeza di kawasan luar bandar dan bandar di negeri itu.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, adalah baik sekiranya kerajaan memperluas lagi penyeragaman harga barangan kepada barangan yang tidak bersubsidi. Perbincangan juga perlu dijalankan bersama pihak industri makanan terpilih supaya mereka juga tidak menanggung kerugian dalam menghasilkan pengeluaran barangan makanan,” katanya kepada Bernama.

Nordin berkata selain keperluan asas seperti produk makanan dalam tin, minuman seperti kopi dan teh, bahan perisa makanan dan keperluan minuman bayi, barangan lain seperti aksesori dan alat ganti komputer juga perlu dikawal harganya.

Justeru, Nordin berkata kerajaan negeri disaran melaksanakan dan menjayakan dasar 1Sabah 1Harga supaya harga barangan terutama barangan bersubsidi di semua daerah di seluruh negeri Sabah seragam.

Katanya, ini kerana barangan bersubsidi walaupun dikawal, masih ada penduduk khususnya di luar bandar tidak dapat menikmati harga subsidi itu kerana kos pengangkutan membawa barangan berkenaan dari bandar atau pekan adalah mahal.

“Saya berharap agar pengusaha kedai-kedai runcit di kawasan pedalaman diberikan subsidi agar pengguna dapat membeli barangan bersubsidi yang sama harganya seperti pengguna di bandar,” katanya.

Nordin berkata ada pengusaha kedai runcit terpaksa membayar antara RM400 hingga RM500 untuk kos pengangkutan bagi membawa barangan ke kawasan luar bandar.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) Datuk A Nagaraju yang sependapat dengan Nordin berkata penyeragaman harga barangan perlu dilakukan supaya pengguna dapat membeli sesuatu barangan dengan harga sama di semua tempat di negeri itu.

Mengambil contoh harga satu peket mi segera di Lahad Datu ialah kira-kira RM6.70, namun di Tawau harganya RM5 kerana mengambil kira kos pengangkutan untuk membawa barang berkenaan ke Lahad Datu dan beban kos itu terpaksa ditanggung pengguna.

“Mengapa ada perbezaan harga bagi barang yang sama. Kita kena seragamkan harga di peringkat daerah dahulu, seluruh Sabah satu harga sahaja … semua daerah perlu berbincang buat kawalan harga, buat penyeragaman harga,” katanya.

Bagi seorang pekerja kilang Sarimah Bana, 48, kini beliau terpaksa membuat pilihan dengan hanya membeli barangan makanan yang benar-benar diperlukan susulan kenaikan harga barang.

“Tinggal di bandar ini semua kena beli, nasib baik tinggal di rumah yang tidak perlu membayar sewa, jadi bolehlah jimat sikit tetapi kos perbelanjaan semakin bertambah, memang agak membebankan lebih-lebih lagi ada anak yang perlu bersekolah,” katanya yang mempunyai tiga anak. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top