PUTRAJAYA: Sekumpulan NGO hak asasi manusia mendesak Putrajaya segera membebaskan tahanan tanpa kerakyatan di Sabah atas dasar kemanusiaan sejagat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata, dapatan mereka menunjukkan 40% tahanan di depot tahanan imigresen di Kota Kinabalu bukannya pendatang asing tanpa izin (PATI), tetapi Orang Asal di Sabah yang tidak mempunyai dokumen lengkap untuk memohon kad pengenalan.
Beliau turut mendesak agensi penguatkuasaan, termasuk Jabatan Imigresen dan polis menggantung sementara operasi ke atas golongan tanpa kerakyatan di Sabah susulan kesesakan di depoh tahanan.
“Selain PATI, terdapat ramai individu kategori ini di depot tahanan kerana kebanyakan mereka didaftarkan lewat untuk sijil kelahiran dan masih berstatus dalam siasatan atau permohonan semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.
“Namun kerana maklum balas dan juga pengesahan dokumen lambat diterima menyebabkan mereka terpaksa berada di depot bagi tempoh yang lama sehingga lebih dua tahun,” katanya pada majlis penyerahan memorandum isu depot tahanan imigresen dan golongan tanpa kerakyatan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Minggu lalu di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta semua pihak memberi kerajaan ruang dan masa untuk menyelesaikan hak kewarganegaraan komuniti tanpa kerakyatan di Sabah.
Ini kerana katanya, kerajaan perlu meneliti pelbagai sudut, termasuk dokumen yang diperlukan, bukannya faktor kemanusiaan semata-mata, sebelum meluluskan permohonan kewarganegaraan.
Hishamuddin turut mendakwa terdapat kes kematian yang “disenyapkan” oleh pihak berkuasa negeri akibat kesesakan dalam depot tahanan.
“Dah tahu tangkap, tapi tak boleh nak hantar ke mana-mana, kenapa tangkap? Simpan dalam depot sampai kurus kering, kurang makanan, ramai dijangkiti penyakit, ruang tempat tidur yang kotor, mana nilai kemanusiaan kita semua?” soalnya.
“Kita merayu bebaskanlah mereka, berilah mereka jalani kehidupan seperti manusia lain. Biarkan mereka mendapat akses pendidikan dan kesihatan sempurna seperti manusia lain,” katanya yang mencadangkan pihak berkuasa hanya membuat tangkapan, sekiranya komuniti itu melakukan kesalahan jenayah.
Beliau mahu KDN menyatakan secara konkrit tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan isu golongan tanpa kerakyatan di Sabah.
Beliau turut mencadangkan Orang Asal Sabah tanpa kad pengenalan diberikan identiti khusus atau pas tunggal berdasarkan kelayakan mereka.
“Jika mereka tak cukup syarat untuk diberi kad pengenalan, beri dokumen sah untuk tinggal di bumi Malaysia. Dokumen itu mestilah diterima dan diiktiraf semua agensi penguatkuasaan agar tidak berlaku pertindihan arahan.” – FMT