NCA Tidak Terikat Sehingga Syarat Dipenuhi – Peguam Besar Sabah

Nor-Asiah-Peguam-Besar-Sabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) yang menjadi kontroversi antara kerajaan negeri Sabah dan sebuah firma dari Singapura yang kurang dikenali adalah tidak mengikat dan tertakluk kepada usaha wajar (due diligence), kata Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Antara syarat itu termasuk adendum (tambahan) kepada perjanjian berkenaan untuk memansuhkan semua terma kontrak yang “tidak adil dan tidak munasabah”, bagi mengenal pasti dan mendapatkan persetujuan daripada komuniti Orang Asal yang terjejas serta mengenal pasti ‘kawasan yang ditetapkan’.

“Oleh itu, NCA tidak dimuktamadkan dan tidak mengikat kerana, antara lain, kawasan yang ditetapkan – yang menjadi subjek NCA – belum dipastikan atau dikenal pasti.

“Sehingga kawasan yang ditetapkan dipastikan dan digabungkan, setiap terma, syarat dan penalti dalam NCA yang dicadangkan adalah tidak terikat dan tidak boleh dikuatkuasakan.

“Ringkasnya, NCA dalam bentuknya sekarang adalah tidak berdaya di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

NCA yang ditandatangani pada 30 Okt tahun lepas, dilaporkan merupakan perjanjian perkongsian keuntungan di mana firma terbabit, Hoch Standard, akan diberi 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon Sabah, dengan baki 70 peratus disalurkan kepada kerajaan Sabah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kawasan yang ditetapkan meliputi 600,000 hektar, dengan potensi diperluaskan kepada dua juta hektar berdasarkan kejayaan projek perintis berkenaan

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, yang merupakan salah seorang penandatangan NCA, berkata ia adalah perjanjian yang melibatkan perdagangan kredit karbon yang akan memanfaatkan pemuliharaan hutan dan memberikan hasil kepada kerajaan Sabah untuk membangunkan negeri itu.

Pengkritik bagaimanapun membidas perjanjian itu kerana diselubungi kerahsiaan, dengan Parti Warisan menggesa kerajaan negeri membatalkan perjanjian itu selepas Dr Jeffrey mendakwa Hoch Standard mendapat sokongan daripada Temasek Holdings Ltd milik kerajaan Singapura.

Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah, Frederick Kugan sebelum ini berkata NCA masih belum dimuktamadkan kerana beberapa isu tertangguh,.

Nor Asiah berkata kenyataan Kugan adalah tepat dan menegaskan perjanjian itu tidak mengikat sehingga Hoch Standard memenuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

Beliau menambah adendum itu memerlukan terma kontrak yang tidak munasabah dan tidak adil dihapuskan serta meletakkan perlindungan yang jelas untuk negeri ini.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top