National Breaking E-Battle Championship: Peserta Dari Sabah Layak Ke Pusingan 16 Terbaik

Khalid-breakdance.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penari breakdance (Bboy) Sabah Mohd Faridh Mohd Yassin yang turut dikenali sebagai ‘Khenobu’ layak ke pusingan 16 terbaik final battle dalam National Breaking E-Battle Championship.

Pertandingan dalam talian itu, yang disokong oleh Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF), diadakan untuk memilih dua Bboy terbaik bagi mewakili negara ke World Breaking Championship yang akan diadakan di Paris, Perancis pada 4 disember.

Penari berumur 28 tahun dari Kota Kinabalu itu akan berdepan Kid Inn untuk merebut tempat di suku akhir yang akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook MYDF pada jam 8 pagi 3 Oktober.

Presiden Persatuan DanceSport Sabah, John Chong yang mengucapkan tahniah kepada Faridh kerana berjaya ke pusingan kalah mati berkata ia adalah satu pertandingan yang sukar bermula dengan 100 peserta dari seluruh negara.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Faridh kerana berjaya ke pusingan 16 terbaik. Beliau telah membanggakan negeri dan kami yakin bahawa dia akan terus cemerlang dalam pertandingan itu dan diharapkan berjaya ke kejohanan dunia,” katanya pada Isnin.

Menurut beliau, Sabah turut diwakili oleh seorang lagi peserta Chong Wen Zhun, 28, dari Tawau yang berjaya ke pusingan 20 terbaik.

John turut berkata mereka sangat gembira dengan prestasi dua Bboy itu dalam pertandingan tersebut dan berikrar akan memberi sokongan terhadap sukan itu.

“Walaupun Breaking atau Breakdance merupakan disiplin baharu kepada Persatuan DanceSport Sabah tetapi ia sudah dimasukkan dalam Sukan Remaja Asia Shantou 2021 dan Sukan Asia Hangzhou 2022 serta merupakan satu program pertandingan untuk Olimpik Paris 2024.

“Saya pasti ini akan memotivasikan ramai yang ingin berjaya ke peringkat Olimpik, dan dengan prestasi menggalakkan yang ditunjukkan oleh Faridh dan Chong, kita ingin melihat lebih banyak kelab atau kumpulan di negeri ini tampil kepada kami dan kami akan cuba yang terbaik untuk memberikan sokongan bagi membangunkan sukan itu,” tambahnya.

Beliau turut menggesa semua pihak yang berminat dan peminat Breaking untuk menonton pusingan 16 terbaik final battle secara langsung menerusi pautan https://www.facebook.com/MYDF-Breaking-108003278063883/ –Warta Oriental

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top