Nama Annuar Musa Turut Di’pancung’?

annuar.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa membayangkan beliau tidak termasuk dalam senarai bakal calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dalam hantaran di media sosialnya malam tadi Menteri Komunikasi dan Multimedia itu antara lain mencatatkan bakal calon BN sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak termasuk dalam kalangan bakal calon yang dibawa membuat ikrar tersebut.

Menzahirkan rasa senangnya dengan perkembangan semasa itu, Annuar berkata, walau perlembagaan UMNO menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan.

“Dijanjikan juga top five diberi kuasa merundingkan (calon) bagi pihak majlis kerja tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top five mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh high up (pihak atasan),” katanya dalam catatan itu.

Annuar adalah antara penyandang kerusi parlimen yang dilihat kritikal terhadap kepemimpinan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Annuar, janji Umno untuk mengutamakan calon yang memiliki ciri-ciri Wali (winnable atau boleh menang, acceptable atau boleh diterima dan likeable – disukai) tidak lagi diendahkan.

“Namun kedengaran di sana sini banyak sudah winners dipancung, terutama yang dekat dengan PM (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Tapi itu rumours yang tidak semestinya tidak berasas,” katanya lagi.

Annuar juga mengingatkan partinya agar berhati-hati menyusun langkah serta adab seseorang yang tidak boleh meminta-minta untuk dicalonkan.

“Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti.

“Jika tidak, (parti) berkubur dua kali,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top