“Nak Bentuk Kerajaan Atau Sekadar Nak Bertanding?” – Masidi

masidi-manjun-fmt-300820-1-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: “Ia pilihan yang sangat ringkas, iaitu sama ada mahu membentuk kerajaan negeri atau sekadar mahu bertanding?”

Itu soalan yang dilontarkan oleh Timbalan Ketua PPBM Sabah, Datuk Masidi Manjun ketika menggesa semua parti pembangkang di Sabah mengetepikan ego masing-masing demi memastikan proses pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept ini dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, mereka perlu menjadikan objektif utama Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri sebagai keutamaan.

“Semua harus faham, ia pilihan yang sangat ringkas, iaitu sama ada mahu membentuk kerajaan negeri atau sekadar mahu bertanding.

“Bagi saya, ia bukan soal berapa kerusi anda boleh dapat, tetapi berapa kerusi yang anda boleh menang. Ia penting kerana jika hasrat kita membentuk kerajaan negeri, jadi kita harus buang keegoan masing-masing,” katanya ketika menghadiri majlis santai Menteri Kanan Pendidikan, Senator Radzi Jidin bersama media semalam.

Masidi berkata, setakat ini, perbincangan pengagihan kerusi masih berjalan dan ada kerusi yang dituntut lebih daripada sebuah parti.

“Saya diberitahu rundingan ini agak mencabar, Bung Moktar (Radin) sendiri mengakuinya, tetapi saya yakin pada akhirnya ia akan dapat diselesaikan dengan baik.”

Kelmarin, Datuk Seri Bung Moktar yang juga ketua Umno Sabah dan pengarah jentera pilihan raya BN bagi PRN Sabah dilaporkan berkata, rundingan pengagihan kerusi dengan parti pembangkang di negeri itu terbukti sukar, tetapi beliau berharap rundingan dapat dimuktamadkan dalam 2 hari lagi supaya mereka mempunyai peluang baik.

Sementara itu, Masidi mengalu-alukan SAPP menyertai PN dan PPBM sedia membantu parti itu menghadapi PRN Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top