Najib Persoal IKEA, Habib Jewels Boleh Buka Kenapa Peniaga Kecil Tak Boleh?

najib-razak-umno-meeting-bernama-261020-1-1068x713-1.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan keputusan Putrajaya membenarkan perniagaan besar seperti gedung perabot IKEA dan rangkaian kedai emas Habib Jewels beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, tetapi peniaga kecil tidak dibenarkan berbuat demikian.

Najib berkata, Putrajaya perlu adil kepada semua pihak, serta mempersoalkan apakah gedung perabot itu termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service), ketika ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan berniaga.

“Sejak bila menjual emas dan barang kemas menjadi perkhidmatan keperluan semasa PKP,” kata bekas perdana menteri itu.

“Semua gedung IKEA seluruh negara (juga) dibenar terus beroperasi dalam PKP ini? Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan.

“Adakah penjualan perabot termasuk dalam perkhidmatan perlu? Tetapi ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan meniaga pula? Kita mesti adil kepada semua.

“Biarlah PKP 2.0 fasa pertama selama dua minggu ini lebih tegas agar ia dapat mencapai matlamat dan tidak perlu dilanjutkan berulang kali,” katanya di Facebook.

Isnin lalu, Putrajaya memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, enam lagi negeri, iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP bersyarat (PKPB), manakala PKP pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak untuk tempoh sama.

Najib berkongsi pengumuman Habib Jewels di Facebook beliau yang menyatakan semua cawangannya akan beroperasi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sebelum ini, IKEA Malaysia memaklumkan, semua cawangannya dalam negara dibenarkan beroperasi dengan waktu perniagaan ditetapkan bermula 10 pagi hingga 8 malam, setiap hari.

Gedung itu turut memaklumkan semua restoran, bistro dan pasar makanan Sweden tetap dibuka, namun hanya ditetapkan untuk pesanan menerusi pandu lalu serta pembungkusan.

Manakala, pelanggan juga boleh membeli barangan perabot secara dalam talian.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top