Najib Didenda RM3,000 Kerana Langgar SOP

najib-Razak-Langgar-SOP-Screenshot.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dikompaun RM3,000 kerana tidak mematuhi SOP ketika makan tengah hari di sebuah restoran nasi ayam terkenal di ibu negara baru-baru ini.

Pengurus Restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng pula didenda RM10,000 kerana gagal mengarahkan Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis namanya dalam buku daftar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, Najib dikompaun masing-masing RM1,500 untuk dua kesalahan, iaitu tidak memeriksa suhu dan mendaftarkan dirinya secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis itu.

Katanya, semua kompaun berjumlah RM13,000 di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Polis menasihati orang ramai supaya patuh kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 Mac lalu, Najib mengakui tidak mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki kedai nasi ayam itu dan meminta pihak berkuasa mengeluarkan kompaun kepadanya.

Dalam sebuah video viral Mac lalu, bekas perdana menteri itu dilihat dibawa ke tempat duduknya, sejurus tiba di kedai nasi ayam itu.

Hanya beliau seorang yang tidak mengimbas kod QR MySejahtera, manakala pegawainya yang lain ada berbuat demikian.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada ‘double standard’ dalam istilah saya. Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tidak tahulah. Mereka ada dua darjat itu hal mereka. Saya tidak mahu ada dua darjat bagi kes saya,” tulisnya di Facebooknya dua bulan lalu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top