Naik ‘Zipline’ Ke Sekolah: PM Sudah Lulus Peruntukan Kecemasan, Kata MP

zipline.jpg

Video pelajar di SK Nangkawangan terpaksa berakit dan menaiki “zipline” menyeberangi sungai untuk ke sekolah tular di media sosial sejak semalam.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup berkata, beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi memaklumkan keadaan beberapa kawasan di Nabawan yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini.

Katanya, Ismail juga telah bersetuju mengeluarkan peruntukan kecemasan bagi mengatasi masalah itu.

“Saya sedia maklum dengan situasi ini yang mana kerosakan dialami adalah akibat banjir besar yang berlaku-baru ini.

“Sehubungan itu, saya telah bertemu dengan perdana menteri bagi memaklumkan masalah ini dan beliau bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan kecemasan.

“Sepasukan pegawai teknikal dari unit penyelaras pelaksana serta pejabat daerah juga telah melawat kawasan terbabit, dua hari lalu dan kini mereka sudah mula menyediakan laporan yang diperlukan,” katanya kepada FMT, hari ini.

Arthur yang juga timbalan menteri kerja raya berkata, beliau juga akan bertemu dengan penduduk kampung bagi membincangkan penyediaan pengangkutan lebih selamat kepada pelajar terbabit.

Terdahulu, beberapa video menyaksikan pelajar di Kampung Nangkawangan di daerah itu menyeberangi sungai untuk ke sekolah dengan berakit dan menaiki ‘zipline’ tular di media sosial sejak malam tadi.

Mereka saban hari bergadai nyawa untuk menyeberangi sungai selepas jambatan gantung di situ dihanyutkan banjir, bulan lalu.- FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top