Naik Taraf Landasan Kereta Api Halogilat-Tenom Dijangka Siap Awal Tahun Depa

IMG_20211119_143806.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Projek penaiktarafan landasan kereta api dari Halogilat ke Tenom, Sabah dijangka dapat diselesaikan awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.
Beliau berkata ia merupakan satu daripada dua projek berkeutamaan tinggi bagi menaik taraf infrastruktur untuk menambah baik pengangkutan kereta api di negeri berkenaan.
Menurutnya, satu lagi projek ialah perolehan tiga set Diesel Multiple Unit dan enam unit Non-Powered Car yang juga dijangka dapat diselesaikan awal tahun hadapan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Noorita Sual (PH-Tenom) mengenai inisiatif diambil kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf perkhidmatan pengangkutan kereta api Pangi di daerah Tenom, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Henry berkata kerja-kerja tambahan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan kereta api di kawasan Gorge Line, Sabah, antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
Menurutnya, projek yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 itu setakat ini telah mencapai kemajuan fizikal 99.5 peratus.
“Projek ini telah diperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi 2022 untuk perakuan akaun dan bayaran muktamad,” katanya.
— BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top