Naib Presiden UMNO Cadang ‘Lockdown’ Penuh Di Seluruh Negara

khaled.jpg
Kongsi Bersama

Kerajaan digesa melaksanakan sekatan penuh (lockdown) di negara ini bagi mengekang penularan Covid-19, memandangkan kes kian meningkat.

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang tidak teragak-agak untuk mengambil pendekatan drastik untuk membataskan pergerakan orang ramai dalam memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

“Malaysia mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan ini. Jangan lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Khaled, rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, ahli politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.

“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.

“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di kawasan-kawasan tertentu di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan serta seluruh Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, terdapat beberapa kawasan lain yang menjalani PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Manakala semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak polis di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa hari ini  (10 Mei) hingga 6 Jun ini.

Khaled berkata, kerajaan tidak boleh teragak-agak dengan arahan yang menyebabkan kekeliruan terutamanya apabila protokol kesihatan tidak lagi berkesan, memandangkan rakyat telah menunjukkan sindrom keletihan terhadap prosedur operasi piawai (SOP) sedia ada.

Pada masa sama, dalam kes sporadik yang dialami oleh negara, Khaled juga mencadangkan supaya kerajaan mempertingkatkan kebolehan fungsi MySejahtera untuk individu yang positif tidak mengetahui sumber atau tempat mereka mendapat jangkitan tersebut.

“Keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.

“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid (‘proximity notification’).

“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top