Naib Ketua Penyelaras UMNO Pitas sertai Gagasan Rakyat

Gagasan-Rakyat-Pitas.jpg
Kongsi Bersama

PITAS: Naib Ketua Penyelaras UMNO Pitas, Maslan Selen menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah melihat daya kepimpinan pemimpin Gagasan Rakyat terutamanya Datuk Seri Dr. Ruddy Awah yang bersungguh-sungguh memperjuangkan rakyat Pitas ke arah yang lebih baik selain situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini.

“Keputusan menyertai Gagasan Rakyat dibuat kerana melihat kesungguhan pemimpinnya seperti Datuk Seri Ruddy yang sentiasa prihatin kepada nasib dan keadaan rakyat, beliau berjuang untuk membangunkan daerah ini agar rakyat terbela.

“Situasi politik UMNO yang berlaku ketika ini turut mendorong pemikiran saya menyertai Gagasan Rakyat yang merupakan parti memerintah yang saya yakin berpotensi sangat besar membangunkan ekonomi negeri seterusnya membantu masyarakat.

“Saya dengan rela hati tanpa sebarang syarat hari ini menawarkan diri untuk menyertai Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Ruddy dan saya yakin selepas ini akan ada lagi beberapa cawangan UMNO di Pitas ini akan menyertai saya,” katanya selepas memberikan borang keahlian Ruddy yang merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas di Dewan Terbuka Kampung Salimpodon sempena Majlis Berbuka Puasa Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, kelmarin.

Sementara itu, Ruddy menyambut baik penyertaan Maslan dan turut mengalu-alukan pemimpin yang lain untuk turut bersama membangunkan Pitas.

“Kita berbesar hati dan gembira menerima baik penyertaan Maslan menyertai kita dan diharapkan kehadiran beliau akan menjadikan Gagasan Rakyat Pitas akan terus bertahan dan lebih kuat untuk terus berjuang membantu rakyat dari pelbagai aspek.

“Sebagai ketua bahagian berserta pemimpin-pemimpin Gagasan Rakyat Pitas, sudah semestinya kami mengharapkan kehadiran beliau dari UMNO dan juga dan mengalu-alukan rakan-rakan dari Parti Warisan untuk bersama memastikan Gagasan Rakyat dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah menjadi yang terbaik dalam membela rakyat,” katanya.

 

Berita asal: Sabah News Today (SNT)

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top