KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan sebarang pembabitan atau salah laku dalam isu perjanjian pengambilan tanah di Pulau Balambangan, Kudat, yang mencetuskan minat dan perbincangan awam baru-baru ini.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, beliau sudah mengambil pendekatan perundangan bagi menyangkal dakwaan tidak berasas itu.
“Adalah penting untuk diingat bahawa walaupun saya tidak lagi menjadi ketua menteri, tetapi nama saya dikaitkan secara salah dalam urusan perjanjian ini oleh pelbagai pimpinan politik di Sabah.
“Saya ingin menegaskan saya menafikan sebarang penglibatan atau salah laku dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau sudah melantik peguam untuk memfailkan saman terhadap pihak atau individu mengaitkan namanya dengan isu perjanjian tanah itu.
“Selain itu, surat tuntutan telah disampaikan kepada individu tersebut.”
Ini susulan artikel yang dimuat naik satu laman Facebook mendakwa penyalahgunaan kuasa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang meluluskan enam permohonan tanah seluas 968.4ha di Kudat dengan dakwaan kononnya Shafie turut dikaitkan dengan urusan tanah itu.
Kelmarin, Hajiji menafikan dakwaan itu dan berkata dakwaan membabitkan dirinya berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya.
Beliau berkata, pejabatnya akan memberi kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu. – BERNAMA