Myvi ‘terbang’ sebelum terbalik di Jalan Kimanis-Keningau

myvi-terbang.jpg

Tangkap layar menunjukkan bagaimana kereta Myvi berkenaan melambung ke udara (kiri) sebelum terjatuh ke jalan raya.

Kongsi Bersama

PAPAR: Polis mengesahkan video tular yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik dalam kejadian kemalangan di Kilometer 37 Jalan Kimanis-Keningau pada Sabtu, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tersebut, pemandu berusia 17 tahun bersama penumpang yang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Akhbar itu memetik Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka sebagai berkata, ketika tiba di lokasi kejadian semasa menuruni bukit, tiba-tiba brek kereta itu tidak berfungsi sehingga menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terlanggar tebing bukit dan terbalik.

“Pemandu dan penumpang mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Papar,” katanya pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Kamaruddin dalam pada itu menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati terutama ketika melalui jalan berbukit di Jalan Kimanis-Keningau.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa keadaan brek dan menyelenggara kenderaan sekiranya mahu melalui kawasan tersebut.

“Ini disebabkan bentuk muka bumi yang curam dan kawasan itu memang lokasi yang kerap berlakunya kemalangan,” ujarnya.

Sebelum itu, tular di media sosial video berdurasi 29 saat membabitkan rakaman daripada kamera papan pemuka yang memaparkan sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan dan memintas sebuah kenderaan lain di kawasan garisan berkembar.

Kenderaan terbabit kemudiannya terbabas dibahu jalan lalu melambung ke atas sebelum terbalik di laluan bertentangan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top