MYStartup NXT Sabah berjaya menarik lebih 250 peserta

arthur-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: MYStartup NXT, siri persidangan mikro oleh MYStartup telah melabuhkan tirai bagi tahun 2023 dengan persinggahan keempat di Kota Kinabalu, Sabah selepas menjayakan beberapa siri dengan melibatkan startup di Cyberjaya, Kuching dan Pulau Pinang.

Program MYStartup NXT yang dijalankan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), iaitu agensi focal point bagi startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini bertujuan untuk memupuk sebuah ekosistem negara yang inklusif, berkesan dan mampan.

Persinggahan di Kota Kinabalu yang dijalankan bersama Pusat Kreatif Ekonomi dan Inovasi Sabah (SCENIC) ini telah menarik lebih daripada 250 peserta dengan menawarkan sesi perkongsian mengenai pendanaan, pengesahan perniagaan, pemupukan bakat baharu dalam bidang teknologi serta rahsia kejayaan untuk menembusi pasaran global.

Selain daripada sesi yang menampilkan pemain ekosistem tempatan seperti SCENIC, SynxSoft, CoreHalal dan AgriData, program ini juga menawarkan peluang rangkaian serta sesi perkongsian khas, ‘What’s Up Grant’, mengenai geran yang ditawarkan oleh Cradle, iaitu CIP SPARK dan CIP SPRINT.

MYStartup NXT juga memberi peluang kepada pakar industri dan pengasas-pengasas tempatan untuk berkongsi perjalanan perniagaan mereka serta cara-cara untuk mengubah idea menjadi realiti.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, MYStartup akan terus memperkasakan startup di Sabah dan membantu mereka mengatasi cabaran dalam meningkatkan modal, pembinaan bakat baharu serta kekangan infrastruktur.

“Saya yakin landskap startup di Sabah akan terus berkembang dan menjadi penggerak bagi pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial negara.

“Di MOSTI, kami akan terus berusaha untuk memastikan Malaysia mampu mencapai potensi penuh dalam menjadi hab inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,”katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke pula berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat melabuhkan tirai MYStartup NXT tahun ini di Sabah, sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam ekosistem startup tempatan.

“Kami akan memastikan faedah di bawah inisiatif MYStartup dapat dinikmati oleh setiap komuniti startup tempatan, sama ada dari Lembah Klang, Wilayah Utara dan Selatan atau Sabah dan Sarawak. Kami juga berharap untuk terus memupuk pertumbuhan dan inovasi menerusi penglibatan yang berterusan di setiap negeri,” ujarnya.

Bagi Mazrie Mahat, Ketua Pegawai Eksekutif SynxSoft Sdn Bhd dan CoreHalal, ini merupakan kali pertama beliau menyertai program itu yang menggabungkan pengasas startup, ahli profesional korporat dan juga bakal usahawan.

“Pada pandangan saya, bimbingan, momentum dan peluang daripada pemain ekosistem adalah penting untuk mengembangkan perniagaan kami ke peringkat seterusnya.

“Dengan sesi perkongsian di MYStartup NXT ini, kami telah didedahkan dengan informasi mengenai geran bagi startup tempatan, rahsia kejayaan daripada rakan ekosistem dan juga potensi kolaborasi bersama syarikat di luar negeri Sabah,” katanya.

MYStartup NXT, dengan kerjasama rakan kongsi tempatan, rakan korporat dan penaja, telah berjaya menarik lebih daripada 800 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Melalui sesi Venture Connect juga, MYStartup telah membantu menghubungkan lebih daripada 100 pengasas dengan pelabur tempatan dan serantau, termasuk Malaysia Venture Capital Management (MAVCAP), Vertex, Malaysian Business Angel Network (MBAN), Khazanah Nasional dan lain-lain.

Selain daripada MYStartup NXT, sebanyak 3,828 startup telah mendapat manfaat melalui program pembinaan kapasiti seperti program pemecut (accelerator), prapemecut (pre-accelerator) dan hackathon di bawah Cradle.

Tahun ini, empat (4) graduan program pemecut terbaik telah mendapat akses eksklusif ke program akses pasaran MYStartup dan berjaya memperoleh pembiayaan sebanyak RM675,000. Tambahan lagi, bilangan startup yang berdaftar di Sabah juga telah meningkat lebih daripada 40% berbanding tahun lepas, dan ini menggambarkan pencapaian baik MYStartup di negeri ini.

MYStartup NXT akan kembali dengan destinasi dan perkongsian baharu pada tahun 2024. Untuk mendaftar, sila klik disini dan untuk maklumat lanjut mengenai MYStartup NXT, sila layari www.mystartup.gov.my.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top