Mydin Akan Perluas Menu RAHMAH Ke Sabah, Sarawak

Mydin-Menu-Rahmah.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Rangkaian pasar raya besar Mydin berhasrat mengembangkan program Menu RAHMAH ke semua cawangannya di seluruh negara, kata pengarah urusan Datuk Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata walaupun kos bahan mentah di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung, syarikat itu akan menawarkan makanan murah kepada pelanggannya di seluruh negara.

“Sebagai contoh, di Mydin Sandakan, harga 1kg ayam ialah RM12 berbanding RM9.40 di Semenanjung.

“Bagaimanapun, kami berjanji untuk menawarkan Menu RAHMAH di Sandakan dan dua lagi cawangan di Kuching supaya rakyat Sabah dan Sarawak juga boleh menikmati makanan berharga RM4.90,” katanya kepada Bernama Radio.

Pada Selasa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu RAHMAH yang terdiri daripada makan tengah hari dan makan malam pada harga RM5 setiap hidangan di hampir 15,000 kedai makanan di seluruh negara.

Selaras dengan inisiatif itu, Ameer Ali berkata Mydin turut menawarkan menu sarapan pagi dengan 10 jenis makanan dengan harga serendah RM2.50.

Beliau berkata program Menu RAHMAH sesuai dilaksanakan oleh peniaga makanan kecil-kecilan kerana kos overhead yang lebih rendah berbanding restoran.

“Sebagai contoh, restoran India Muslim perlu membayar sewa RM20,000 sebulan, tetapi peniaga kecil mungkin hanya perlu membayar lesen atau sewa sekitar RM100 hingga RM200,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata kementeriannya akan melaksanakan program Menu RAHMAH di institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.

Pada masa ini, beliau berkata kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup untuk merealisasikan rancangan itu.

“Kedua-dua kementerian kini sedang berbincang mengenai perkara itu dan saya rasa tidak menjadi masalah kepada universiti di bawah kementerian pengajian tinggi untuk menyediakan ruang untuk program ini,” katanya kepada pemberita semalam..

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top