KOTA KINABALU: My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd (MyJet) memeterai kerjasama dengan syarikat perkhidmatan logistik antarabangsa, Kerry Logistics Network bagi operasi penerbangan kargo ekslusif untuk laluan pergi-balik Kota Kinabalu (BKI) dan Macau (MFM).
Mencatat lebih 200 penerbangan sejak dilancarkan pada Mac 2021, ianya secara tidak langsung memendekkan masa penghantaran berbanding menggunakan perkhidmatan perkapalan.
Pengerusi Eksekutif MyJet, Haji Mohamed Yunos menjelaskan, kerjasama ini adalah berikutan peningkatan dari sektor e-dagang yang memerlukan proses penghantaran lebih cepat.
“MyJet berperanan dalam industri kargo dan KLN dalam bidang logistik, kerjasama ini perlu bagi melancarkan penghantaran memandangkan jarak antara Kota Kinabalu dan China lebih dekat.
“Tidak ada perbezaan yang ketara dari segi kos operasi menggunakan laluan udara atau laut namun dari segi masa, lebih jimat menggunakan laluan udara” katanya.
Tambahnya, MyJet bakal menambah 2 buah pesawat kargo dari jenis Boeing 737-300F dan Boeing 737-800F dengan pelaburan sebanyak RM100 juta. Ini membawa jumlah keseluruhan untuk operasi tempatan sebanyak 6 buah pesawat.
“Kami akan menambah 2 pesawat baru untuk operasi di Malaysia, 1 pesawat bagi operasi di Filipina dan 2 pesawat lagi di Indonesia.
“Berhadapan lonjakan permintaan semasa, kami bakal menambah lebih kurang 4 perjalanan baru ke Shandong, Wuhan, Xiamen dan Shenzen seterusnya dari Kuala Lumpur ke India” jelasnya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Dalam majlis itu juga , MyJet turut berbesar hati menyumbangkan sejumlah RM47,000 kepada petugas barisan hadapan dan anak-anak yatim dari Madrasah Waqaf Islamiah Sabah.
Turut hadir, Pembantu Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, Ketua Pegawai Eksekutif MyJet, Azrul Hisham Abdul Wahab dan Alan Ng, Pengarah KLN Malaysia. – Sabah Media