Mutiara GRS raikan kanak-kanak sekolah sempena Tahun Baharu Cina

mutiara-GRS.jpg

Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan bersama para penerima sumbangan pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) meraikan 50 kanak-kanak sempena program Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 pertubuhan itu di sini pada Selasa.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag yang juga Yang Dipertua Mutiara GRS menyampaikan ‘goodie bags’ dan ang pow kepada kanak-kanak dari lima buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu.

Juliah berkata, program tahunan Mutiara GRS itu bertujuan menyantuni kanak-kanak terpilih dari lima buah sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, antara sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, St. Francis Convent, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Shan Tao, Chung Hwa Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan (Cina) Anglo Chinese.

“Menerusi program sambutan ini kita berharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan, selain membawa keceriaan dan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina kepada kanak-kanak ini.

“Mutiara GRS telah merancang beberapa program yang akan dilaksanakan tahun ini termasuk program menyantuni rakyat dan golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih,” katanya.

Selain jamuan makan, kanak-kanak itu turut dihiburkan dengan persembahan Tarian Singa, permainan kanak-kanak dan persembahan silap mata.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua I Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Cecilia E. Kitingan, Naib Yang Dipertua III merangkap Setiausaha Kehormat, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag Mohd. Saufi, Pengerusi Pelaksana Sambutan Tahun Baharu Cina Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Stella Yong dan ahli-ahli pertubuhan itu. – Penerangan Gagasan Rakyat

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top