Musa Tak Putus Asa, Harap Mahkamah Percepat Bicara Rayuan

81599556351_MusaAman.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berharap Mahkamah Persekutuan akan mempercepatkan tarikh perbicaraan rayuan beliau sebagai ketua menteri yang sah.

Katanya, ini kerana ia akan mempunyai kesan langsung terhadap kes sedia ada dan jika Mahkamah Persekutuan mendengar kes kesahihan ketua menteri selepas hari penamaan calon iaitu pada 12 September ini, ia ibarat nasi sudah menjadi bubur.

“Sehubungan itu, saya memohon ketua hakim negara, memberikan saya tarikh perbicaraan lebih awal berbanding apa yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan permohonan beliau bersama 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain untuk mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin.

Musa berkata, baru-baru ini Mahkamah Persekutuan memperakui pelantikan beliau sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018 adalah sah dan mengikut perlembagaan Sabah.

“Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos 2020 menerusi penghakiman bertulis bertarikh 1 Sept 2020 memutuskan bahawa wujud persoalan berkaitan asas kepentingan perlembagaan yang perlu didengari.

“Antaranya, membabitkan tatacara TYT (Tuan Yang Terutama) menyingkirkan saya sebagai ketua menteri, dan sama ada pelantikan Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sebagai pengganti saya adalah di luar kuasa, terbatal dan tidak terpakai.

“Pekara ini kini bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana peguam saya telah meminta supaya sesi pendengaran diawalkan,” katanya.

Musa yang juga Adun Sungai Sibuga berkata, beliau sentiasa berpegang kepada pendirian penyingkirannya adalah tidak berperlembagaan.

“Justeru, sesiapa yang mengangkat sumpah selepas penyingkiran saya, adalah tidak lebih daripada sekadar perampas yang tidak sepatutnya diberi kebenaran untuk menjalankan tugas secara sahih mengikut perundangan sebagai ketua menteri Sabah.

“Tindakan membenarkan individu sedemikian menjalankan tugas berasaskan perlembagaan sebagai ketua menteri bakal mengundang kesan berpanjangan, seperti yang kita saksikan pada masa kini,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan tindakan Shafie yang memohon pembubaran DUN sedangkan pelantikannya sebagai ketua menteri dipertikaikan sejak awal.

“Oleh sebab itu apabila Shafie memohon pembubaran DUN Sabah, saya memfailkan permohonan untuk mencabar kaedah pembubaran berkenaan.

“Bagaimana seseorang yang kedudukannya masih dipersoalkan boleh mengemukakan permohonan kepada TYT untuk membubarkan DUN Sabah?

“Bagaimana TYT bertindak atas permohonan dikemukakan oleh seseorang yang pelantikannya dipertikaikan sejak dari awal? Masyarakat harus ingat bahawa pemimpin pada setiap masa perlu melangkaui kepentingan politik,” katanya.

Sementara itu, Musa berkata walaupun beliau dan 32 Adun lain kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka, hari ini, mereka tetap menghormati keputusan itu.

“Semestinya semua 33 Adun, termasuk saya amat kecewa, namun kami menghormati keputusan mahkamah.

“Perkara ini sekarang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk mendengar perbicaraan kes ini secepat mungkin kerana sebarang penangguhan perbicaraan hanya menafikan proses menuntut keadilan,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top