Musa Tahu Kenapa ‘Tohmahan’ Masih Dimainkan

musa-aman.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah,Tan Sri Musa Aman, tahu kenapa masih ada pihak yang mengungkit dakwaan rasuah dikaitkan dengannya sebelum ini, walaupun mahkamah melepaskan dan membebaskan beliau daripada semua tuduhan berkaitan.

Musa berkata, golongan itu tidak berpuas hati kerana proses undang-undang dan keputusan mahkamah tidak sehaluan dengan naratif politik mereka.

“Mungkin mereka ini dangkal, atau masih mentah di dalam pemahaman proses undang-undang dan lupa fakta-fakta yang jelas menyokong kebenaran kes saya.

“Mungkin juga ada antara mereka yang sengaja berpura-pura untuk tidak tahu fakta dan kronologi urutan peristiwa yang membawa kepada kemenangan kes saya di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Apa pun “tohmahan” dibawa ahli politik dan individu berkenaan di media atau media sosial kebelakangan ini, Musa berkata hakikatnya siasatan tiga tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) mendapati tiada kesalahan dilakukan berkenaan tuduhan yang dibuat lebih 16 tahun lalu itu.

Jabatan Peguam Negara juga memutuskan elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan, tambahnya.

“Secara tiba-tiba dan tanpa sebarang sebab, pihak berkuasa telah diarahkan untuk menangkap dan mendakwa saya di mahkamah pada 5 Nov 2018, iaitu dua hari sebelum keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Sabah berhubung dengan kes sivil saya terhadap Yang di-Pertua Sabah dan (Datuk Seri) Shafie Apdal.

“Tindakan ini, secara langsung atau tidak langsung telah memberi kelebihan politik kepada seteru politik saya. Bukankah ini memberi indikasi bahawa pendakwaan terhadap saya berniat jahat dan merupakan satu penganiayaan politik?” soalnya.

Tahun lepas, Musa dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang berkait konsesi balak selepas Timbalan Pendakwa Raya menarik balik semua tuduhan mereka.

Beliau dituduh menerima rasuah antara USD28,500 and USD16,148,547 daripada pelbagai individu antara 12 tahun hingga 16 tahun lalu.

Musa, yang merupakan ketua menteri dari 2003 hingga 2018, mohon membela diri pada 5 Nov 2018.

“Tiada seorang pun harus dijadikan mangsa bagi tuduhan liar dan tidak berasas yang direka dari naluri dendam kesumat politik yang tak sudah terutamanya apabila mereka telah disiasat dan dibebaskan berulang kali,” katanya.

Bekas ketua menteri itu menyenaraikan beberapa fakta berkaitan kes beliau itu. Pertama sekali, beliau disiasat SPRM dan ICAC dari 2008 hingga 2011, dan tiada tindakan diambil terhadapnya selepas hasil siasatan diteliti Jabatan Peguam Negara.

“SPRM telah mendapati bahawa tiada elemen rasuah dilakukan oleh saya dan wang yang disiasat adalah merupakan sumbangan politik,” katanya, dan menambah hasil siasatan ICAC juga menunjukkan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah.

“Sehingga hari ini, tiada sebarang siasatan lanjut telah dibuat oleh ICAC terhadap saya,” tambahnya.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya empat orang memperhalusi hasil siasatan dan keputusan pihak berkuasa untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya sebelum pendakwaan semasa pentadbiran Pakatan Harapan, iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohammad; dan bekas Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali.

Musa berkata demikian beberapa hari selepas bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan kenapa beliau dibebaskan.

Syed Saddiq menimbulkan hal itu selepas Pemuda Perikatan Nasional menyifatkan dakwaan beliau dituduh rasuah selepas enggan menyokong pentadbiran sekarang sebagai tidak berasas.

Musa bagaimanapun memaklumkan beliau memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan pendakwaan terhadapnya semasa kerajaan Pakatan Harapan masih memerintah.

Kemudian, beliau juga merujuk persoalan-persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.

“Tiada sebarang fakta atau isu baru yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan. Pendakwaan pada Nov 2018 hanyalah berdasarkan penyiasatan lama yang mana ICAC dan SPRM telahpun memutuskan tiada kesalahan dilakukan oleh saya,” katanya.

Berdasarkan alasan dikemukakan dalam permohonan pembatalan pendakwaan, Musa berkata Peguam Negara sekarang dan barisan Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes beliau meneliti dan mempertimbangkan permohonan yang difailkan semasa kerajaan PH itu.

“Hakim Muhammad Jamil Hussin setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak berhubung dengan latar belakang kes ini dan seterusnya meneliti peruntukan undang-undang yang relevan telah menggunakan budi-bicaranya untuk memerintahkan agar saya dibebas dan dilepaskan dari semua pertuduhan-pertuduhan,” katanya.

“Dengan fakta yang jelas ini adakah mereka semua ini buta, bodoh atau hipokrit? Saya tahu mereka bukan buta dan yakin mereka juga bukan bodoh,” tambahnya. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top