Murid Tahun Lima Maut Dihempap Tiang Gol

ditimpa-tiang-gol.jpg

Tangkap layar menunjukkan mangsa diangkat oleh anggota pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Likas. – Foto media sosial/Sabah Post

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang murid tahun lima maut apabila dihempap besi tiang gol semasa aktiviti sukan tahunan sekolah di padang bola Pekan Manggatal kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, murid lelaki berusia 11 tahun itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian itu berlaku semasa aktiviti sukan tahunan sebuah sekolah rendah di Likas.

Bapa mangsa membuat laporan polis menyatakan anaknya dihempap palang besi tiang gol semasa menyertai aktiviti sukan sekolah.

“Pihak sekolah memaklumkan, guru yang berada di lokasi telah menghubungi talian kecemasan 999 dan anak pengadu dihantar menaiki ambulans ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu, di Likas untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dihempap besi tiang gol,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur perbuatan jenayah.

Kematian mangsa dipercayai akibat kemalangan terhempap besi tiang gol dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Namun, siasatan kes masih dijalankan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top