KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis bersikap terbuka untuk bersaing dengan mana-mana calon yang akan bertanding di Parlimen Kota Belud.
Borneo Today melaporkan Munirah sebagai berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi maka, siapa sahaja boleh bertanding pada pilihan raya.
“Saya sentiasa berfikiran terbuka dengan siapa pun yang ingin bertanding dan saya sedia mempertahankan kerusi itu sekiranya pucuk pimpinan parti memberi kepercayaan kepada saya bertanding di kerusi tesebut.
“Namun, belum ada kepastian atau penentuan sama ada saya dicalonkan semula atau sebaliknya.
“Selaku Ketua Bahagian Warisan Kota Belud dan juga ahli Parlimen, saya akan terus bekerja keras meneruskan perjuangan parti,” katanya kepada portal berita itu ketika ditemui di Ibu Pejabat Parti Warisan (Warisan) semalam.
Ketua Wirawati Warisan itu berkata, ketika ini banyak parti yang menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Kota Belud. Malah, semua parti pun sedang mempersiapkan jentera masing-masing untuk memperkukuhkan kedudukan di kawasan yang ingin ditandingi.
Di peringkat parti, penyertaan ahli-ahli parti lain dilihat akan membantu memperkukuhkan kedudukan Warisan di Kota Belud.
Sekiranya diberi amanah untuk menjadi calon sekali lagi, beliau cukup bersedia untuk bersaing dengan calon daripada mana-mana parti.
Mengulas tentang cadangan meningkatkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus, Munirah berkata, perkara itu sudah lama dibangkitkan dan diperjuangkan di Parlimen.
Langkah membincangkan soal penambahan kerusi Parlimen di Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) satu permulaan yang baik. Namun, diharap ia bukan sekadar pengumuman dan cadangan.
“Kita mahu melihat cadangan itu dilaksanakan. Jangan pula ia sekadar ‘gula-gula’ kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir.
“Saya melihat pelaksanaan itu akan melengkapkan usaha kerajaan dalam mengembalikan status wilayah kepada Sabah dan Sarawak. Jadi, kita tidak mahu ia sekadar mengangkat status wilayah tapi, tiada tindakan susulan diambil.
“Laksanakan apa yang sepatutnya dilaksana dalam usaha mengembalikan hak-hak Sabah,” katanya.
Munirah turut menempelak kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan tidak wajar menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Kenyataan sebegitu amat mengecewakan kerana bertentangan dengan tuntutan rakyat Sabah yang mahukan lebih banyak ahli Parlimen yang boleh membawa suara dan masalah rakyat di negeri ini.
Menurutnya, tambahan kerusi akan membawa kepada tambahan peruntukan yang akan membantu mempercepatkan proses pembangunan di negeri ini.