Mungkin Tiba Masanya Bekalan Air Di Sabah Diurus Pihak Ketiga – Bung Moktar

Bung-1.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Mungkin sudah tiba masanya pengurusan bekalan air di Sabah diberikan kepada pihak ketiga berikutan masalah yang sudah lama berlarutan dan hakikatnya sangat serius sekarang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata dalam pada itu, langkah jangka pendek sedang diambil untuk membekalkan air ke kawasan terjejas di sini, termasuk di University Utama Condominium (UUC) Telipok dan University Condo Apartment 2 (UCA 2).

Beliau berkata tindakan susulan yang akan diambil adalah berdasarkan kajian dan bengkel yang diadakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang mendesak itu.

“Saya akan membentangkan kertas cadangan itu kepada Kabinet Negeri Sabah. Ini bukan perkara mudah kerana ia melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Rakyat Sabah berhak menikmati bekalan air bersih seperti di negeri-negeri lain. Saya memohon maaf atas kesulitan yang dikesali dan gangguan bekalan air yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Baru-baru ini, beberapa penduduk khususnya di UUC dan UCA 2 mendakwa tidak mempunyai bekalan air sejak seminggu lalu dan meminta pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, Bung berkata, Kementerian Kerja Raya akan menambah lori tangki air ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air, terutama UUC dan UCA2 dengan kadar segera.

Penghantaran air menggunakan lori tangki ini akan dilakukan sepanjang 24 jam sehingga pam loji rawatan air (LRA) Telibong 1 selesai diperbaiki.

Bung Moktar berkata, pihaknya akan menghantar air dengan kapasiti 4.9 juta liter sehari untuk tangki simpanan di UUC dan 5.5 juta liter sehari untuk tangki simpanan UCA 2.

Menurutnya, penghantaran lori tangki air ini sudah dimulakan sejak 6 November lalu dan jumlahnya akan ditambah oleh pihak Jetama Sdn. Bhd.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memaklumkan status semasa di kawasan yang terjejas kepada kementerian,” katanya

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top