KUALA LUMPUR: Bekas ketua UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang digantung enam tahun berkata, beliau rela dipecat serta merta daripada parti itu.
Noh berkata, ia adalah pilihan terbaik selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini memutuskan untuk menggantungnya selama enam tahun.
“Keputusan mengantung saya selama enam tahun tidak memberi sebarang makna dan saya rela dipecat daripada parti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, permintaan untuk beliau dipecat turut dipersetujui sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Bila diumum saya digantung, saya cakap jangan gantung, pecat lebih baik. Untuk apa saya berada dalam perjuangan parti, untuk apa saya duduk dalam parti yang telah berkorban sejak 1976, saya berkorban untuk parti tapi nampaknya hari ini menggunakan parti untuk kepentingan peribadi, untuk apa?
“Betul, UMNO akan buat pemutihan, yang lawan akan dipecat. Yang selamat siapa? presiden lah,” katanya di menara Dato’ Onn, di sini, malam tadi.
Sebelum itu, Noh kelihatan sebak selepas keluar dari mesyuarat MKT, sebaik keputusan pergantungan dibuat terhadapnya.
Ditanya mengenai respon Zahid ketika diminta untuk dipecat, Noh berkata, presiden bersetuju dengan permintaannya sementara ahli MKT lain hanya berdiam diri.
“Lain-lain semua diam. presiden kata, kalau nak pecat, kita pecatlah. Dengan ini saya pecat (Tan Sri) Noh (Omar).
“Saya kata terima kasih. Apa gantung-gantung? Gantung serta-merta, sebab itu sebab saya keluar dari mesyuarat,” dakwa Noh menceritakan apa yang berlaku dalam mesyuarat MKT dihadirinya malam tadi.