KOTA KINABALU: Semua operasi perniagaan termasuk restoran, pasar raya dan kedai runcit di Sabah dipendekkan dari 9 pagi hingga 6 petang mulai esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata keputusan itu dibuat susulan kes positif Covid-19 di Sabah yang mencecah 305 jangkitan hari ini selain enam lagi kluster baharu direkodkan.
“Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (Covid-19) memutuskan untuk menyeragamkan masa operasi perniagaan di seluruh Sabah.
“Selain perniagaan lain yang dibenarkan, pasar awam dan pasar harian ditetapkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 3 petang,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap berkaitan Covid-19 Sabah berkata, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang tidak lagi dikategorikan sebagai satu daerah mulai esok.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes positif Covid-19 di tiga daerah terbabit mencapai 70 kes hari ini.
“Sebagai usaha mengurangkan perjalanan yang tidak perlu maka orang awam tidak dibenarkan rentas daerah kecuali untuk perkhidmatan perlu dan barangan perlu.
“Mulai esok juga, polis akan melaksanakan pemeriksaan ketat kawalan larangan rentas daerah membabitkan tiga daerah ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kehadiran penjawat awam negeri hendaklah sekurang-kurangnya 30% di pejabat masing-masing dan 70% lagi bekerja dari rumah.
“Arahan ini berkuatkuasa serta-merta dan pelaksanaannya berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan penjawat awam selain kewujudan pelbagai kluster di seluruh daerah,” katanya.
Terdahulu, Masidi berkata sebanyak 305 kes dicatatkan di Sabah pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 3,870.
Katanya, tiada kematian akibat wabak itu dicatatkan namun enam kluster baharu direkodkan semalam.