SANDAKAN : Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) dijadualkan akan mengadakan Muktamar Kali Ke 33 di salah sebuah hotel terkemuka di daerah Sandakan pada Ahad (esok) ini.
Pengarah Muktamar, Kamsah Othman (gambar) berkata medan tersebut akan digunakan sebaiknya oleh para perwakilan dari seluruh negeri sebagai medan muhasabah yang bertepatan dengan hampirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata Ketua Pemuda Zulzaim Hilmee Abidin dijangka akan menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘Muafakat Menuju Kemenangan’ sebagai satu asas yang akan dijadikan panduan bagi Pemuda PAS meneruskan legasi sedia ada.
“Ini sekali gus akan merancakkan lagi sesi perbahasan para perwakilan yang dilihat amat penting lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang yang dekat dengan PRN,” katanya.
Kamsah yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Libaran turut mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dan pemerhati yang datang dari segenap pelosok negeri ke daerah Sandakan.
“Saya mewakili tuan rumah amat berbesar hati atas kehadiran semua tetamu yang jauh dan jemput jalan-jalan di sekitar Sandakan selepas muktamar selesai,” katanya mengalu-alukan kehadiran seluruh Pemuda PAS,” katanya.
Muktamar yang bakal berlangsung dalam suasana pematuhan SOP itu bakal dirasmikan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan dan dihadiri pemerhati daripada Pemuda PAS Pusat serta perwakilan dari 15 kawasan berdaftar.-Utusan Borneo