MUIS, UMS Materai MoU Tingkat Latihan Berkaitan Pensijilan Halal

MUIS-UMS.jpg

KENANGAN: Kasim dan Yahya bersama tetamu lain merakamkan gambar kenangan selepas MoU di Bangunan Canselori UMS di sini.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam meluaskan ilmu dan latihan profesional berkaitan pensijilan halal khususnya dalam kalangan industri makanan di Sabah.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata Skop kerjasama yang dipersetujui dalam MoU ini membabitkan kerjasama dua-hala dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan modul kursus dan pemerkasaan modal insan dalam bidang halal.

“Antara skop kerjasama menyelaras inisiatif penyelidikan dalam penyelenggaraan, penghasilan, pengeluaran dan semua aktiviti yang berkaitan dengan produk dan makanan halal.

“Penyelidikan dan rundingan turut dijalankan secara bersama untuk melatih dan memperkasa kepakaran dan kompetensi sumber manusia dalam pengeluaran produk dan makanan halal.

“Kerjasama ini juga bagi menetap dan menyelia metodologi untuk penyelidikan dan kajian selain membangunkan modul bagi kursus yang berkaitan,” katanya semasa MoU di Bangunan Canselori UMS di sini.

Katanya kerjasama ini diharap dapat memberi impak positif berikutan mampu membantu dalam pembangunan garis panduan dan modul halal yang lebih berkesan, pemerkasaan kefahaman halal seterusnya memberi nilai tambah terhadap projek dan penyelidikan berkaitan halal kedua-dua pihak.

Tambahnya secara tidak langsung MoU ini juga dapat memacu usaha kerajaan dalam memastikan penghasilan produk yang halal, bersih dan selamat dalam kalangan industri seterusnya menjamin ketersediaan makanan masyarakat dan kesejahteraan pengguna.

“Bagi pihak UMS, kerjasama seperti ini wajar diwujudkan bagi meningkatkan pemindahan ilmu daripada pakar berkaitan bidang syariah, sains halal dan sains makanan dalam membangun dan memperkasakan industri halal di Malaysia khususnya di Sabah,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua (YDP) MUIS Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata sejak penubuhan MUIS Halal Hub pada 16 September 2021 mencetuskan banyak idea termasuk pembangunan perkhidmatan sertu dan inisiatif untuk membangunkan makmal halal yang sedang diusahakan oleh MUIS.

“Majlis mengambil peranan terhadap pensijilan halal Malaysia dan mengurus serta memperkasa industri halal yang lebih berdaya saing dalam menjana ekonomi masyarakat islam di negeri ini dengan perkembangan industri halal Malaysia yang semakin pesat membangun,” katanya.

Tambahnya selain MoU bersama UMS, MUIS juga bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam penyelidikan dan penasihatan syariah serta perkongsian kepakaran dalam membangunkan pensijilan dan industri halal khususnya industri mikro dan membangunkan Makmal Halal di Sabah.

“Kita juga menjalin kerjasama antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam membangunkan pelan tindakan halal Sabah.

“MoU yang termeterai kali ini diharap dapat menjadi nilai tambah dalam memperkasa pembangunan halal di negeri ini.

“Kedua-dua pihak juga diyakini akan memberi komitmen sepenuhnya yang akan memberi manfaat kepada masyarakat islam dan pembangunan industri halal di Sabah,” katanya. – UTUSAN BORNEO

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top