KOTA KINABALU: Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) merekodkan RM145 juta kutipan zakat pada tahun 2023.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, daripada jumlah itu, RM140 juta berjaya diagihkan kepada golongan yang berhak menerima.
“Pada tahun 2023, MUIS di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah menerima atau mengutip zakat berjumlah RM145 juta dan kita telah pun berjaya mengagihkan RM140 juta kepada mereka yang berhak menerima iaitu golongan asnaf khususnya fakir miskin, mualaf dan sabilillah.
“Melihat kepada makna sabilillah, ia merujuk kepada bidang pemerkasaan pendidikan anak-anak asnaf dan ini juga kita bantu melalui Bahagian Zakat dan Fitrah.
“Bahagian ini memberikan peruntukan yang banyak untuk membantu anak-anak dalam bidang pendidikan, misalnya tahun ini saja sejumlah RM20 juta dimanfaatkan untuk membantu lebih 8,000 anak-anak yang tidak berkemampuan dalam bidang pendidikan,” ujarnya.
Beliau ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Khamis.
Arifin turut mengalu alukan syarikat-syarikat GLC dan masyarakat yang berkemampuan untuk menyempurnakan zakat.
“MUIS mengalu-alukan kepada mana-mana GLC dan mereka yang telah wajar untuk membayar zakat tampil untuk membayar zakat dan kita berharap akan bertambah lagi kutipan agar dapat membantu lebih ramai lagi yang berhak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Benta Wawasan Sdn. Bhd., Datuk Karim Abd Wahid berharap agar sumbangan zakat yang telah diagihkan akan membantu meringankan beban golongan asnaf dan juga fakir miskin.
“Hari ini, kita menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM1.9 juta bagi kutipan tahun 2022 kepada MUIS dan berharap setiap sumbangaan zakat akan disampaikan kepada golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan, mudah-mudahan ia dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka yang kurang bernasib baik di seluruh negeri Sabah,” katanya.m
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Ahli Lembaga Pengarah Benta Wawasan Sdn. Bhd., Mashor Ghapor. – Utusan Borneo