MUIS pastikan agihan zakat fitrah patuh prosedur

pengisytiharan-zakat.jpg

Kredit foto: FB Majlis Ugama Islam Sabah - MUIS

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berusaha sebaik mungkin mematuhi prosedur bagi memastikan pengagihan bayaran zakat fitrah sampai kepada golongan yang berhak.

Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, setiap tugasan dijalankan dengan betul dan teratur bagi mengelakkan cara-cara yang tidak mengikut peraturan.

“Saya memang selalu memberi teguran dan peringatan kepada pegawai dan anggota MUIS supaya berjaga-jaga serta berhati-hati dalam menjalankan tugas mereka.

“Lebih-lebih lagi mereka yang ada kaitan dengan penghantaran zakat, supaya zakat ini dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar berhak,” katanya kepada media selepas majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah 1446H/2025 di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan tuduhan-tuduhan liar terhadap integriti MUIS dalam menyampaikan agihan pembayaran zakat fitrah di negeri ini.

Menurutnya, dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, pihaknya juga tidak dapat mengelak dari kritikan dan tuduhan.

“Mungkin ada tuduhan orang itu tidak layak menerima zakat fitrah. Tetapi kita mempunyai prosedur, peraturan dan cara untuk kita sampaikan zakat kepada golongan yang benar-benar layak untuk menerima zakat,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang bulan Ramadan tahun ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta untuk diagih-agihkan kepada asnaf.

Daripada jumlah itu jelasnya, sebanyak RM18 juta akan diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf melibatkan seramai 55,000 orang asnaf.

Beliau berkata, sebanyak RM1.6 juta lagi akan diagihkan kepada 2,050 orang sebagai upah amil kerana bertugas memungut dan mengagih-agihkan zakat fitrah sepanjang bulan Ramadan tahun ini. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top