MUIS Buka Pusat Hemodialisis Bantu Pesakit Yang Memerlukan

Muis.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membuka pusat hemodialisis sebagai salah satu program kebajikan bagi membantu semua pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata pusat yang beroperasi di tingkat satu Wisma Muis, Sembulan, di sini dijayakan bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) dan dinamakan Pusat Dialisis (MUIS-NKF).

“Ia dilengkapi dengan 12 mesin hemodialisis yang berkemampuan untuk merawat hingga 36 pesakit setiap hari.

“Pusat itu terbuka kepada semua pesakit berdaftar dengan Bahagian Zakat dan Fitrah, yang menanggung kos rawatan mereka, dan juga mereka berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menanggung sebahagian daripada kos rawatan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Arifin berkata satu lagi pusat seumpama itu akan dibuka di bangunan milik MUIS di Tebobon, Sepanggar awal tahun depan.

Katanya, MUIS juga merancang untuk membuka pusat hemodialisis di daerah lain seperti Beaufort  supaya dapat membantu lebih ramai pesakit yang memerlukan perkhidmatan itu.

“Saya fikir ini satu program yang sangat baik, kerana ia adalah untuk membantu saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan untuk kesihatan mereka.

“Semua ini adalah hasil sumbangan daripada anda semua yang menunaikan zakat perniagaan dan zakat penggajian. Semua zakat yang kita terima, memang semuanya kita sampaikan, semuanya kita laksanakan dan semuanya kita berikan kepada asnaf,” katanya.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top