Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menerima permohonan 5,500 ahli baru bagi Bersatu Zon 5 di Sandakan meliputi Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Libaran dan Batu Sapi.
Borang keahlian itu diserahkan oleh wakil mereka, Penaung Persatuan Usahawan Sandakan Datuk Mohd Afendi Hamdan kepada perdana menteri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Sabah Hotel di Sandakan.
Penyerahan borang keahlian itu disaksikan oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Yang turut hadir Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Bernama difahamkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,500 merupakan permohonan dari Sandakan dan selebihnya dari Beluran, Kinabatangan, Libaran dan Batu Sapi.
Muhyiddin tiba di Sabah semalam bagi lawatan rasmi dua hari ke negeri itu.
– Bernama