Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Umno memperincikan syarat baharu mengenai kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.
Langkah itu diambil ketika Umno mendakwa diketepikan dan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, sekali gus boleh menyebabkan kejatuhannya.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permintaan itu dinyatakan dalam surat Muhyiddin kepada Umno yang dihantar melalui Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Permintaan tersebut adalah susulan sesi sidang video antara Perdana Menteri dan saya selaku Setiausaha Agung Umno serta Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada petang Rabu lalu.
“Pada sesi berkenaan, sebahagian yang dibincangkan merupakan perkara berkaitan syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis berdasarkan keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno pada Selasa lalu,” katanya dipetik Sinar Harian.
Ahmad yang ditemui pada Majlis Bantuan kepada Mahasiswa bagi Parlimen Pontian di Benut hari ini, juga ditanya apakah syarat baharu itu merupakan satu ‘ugutan politik’.
“Saya hanya mengemukakan fakta bahawa Barisan Nasional (BN) ada nombor yang menunjukkan jumlah Ahli Parlimen terbanyak iaitu 59 kerusi.
“Syarat baharu dibuat selepas Umno meneliti perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana perlu ada perjanjian bertulis,” kata beliau.