Muhyiddin Kata Dia Kenal, Faham Sensitiviti Politik Sabah

tsmy.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau arif mengenai situasi politik di Sabah dan juga sensitiviti rakyatnya.

Bekas perdana menteri itu juga menyifatkan percaturannya meletakkan Datuk Seri Ronald Kiandee mewakili PN di kerusi Parlimen Beluran pada PRU15 adalah strategi yang betul.

Muhyiddin berkata, pembabitannya lebih 40 tahun dalam politik Sabah menjadi pengukur dan amat masak dengan senario politik di negeri itu.

“Saya terbabit dalam politik Sabah lebih 40 tahun, bukan sebagai pemerhati, bukan orang yang masih mentah dan tentu) agak veteran untuk memahaminya.

“Jadi untuk mengatakan saya tak faham politik di Sabah, agak kurang tepat. Saya faham sensitiviti, kelainan, apa yang rakyat Sabah inginkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di Ibu Pejabat PN di sini, semalam.

Muhyiddin berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor, bahawa situasi politik di Sabah ‘sedikit berbeza’ dan harus diuruskan mengikut cara tersendiri.

Perkara itu disuarakan selepas Muhyiddin meletakkan Ronald sebagai calon di Beluran mewakili PN sedangkan nama Naib Presiden BERSATU itu digugurkan daripada senarai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas dasar ia adalah kerusi UMNO dan diberikan kepada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menamakan Benedict Asmat sebagai calon Beluran mewakili BN.

Muhyiddin berkata, kerajaan PN pimpinannya sebelum ini membentuk portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, malah turut memastikan hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terpelihara.

“Saya dah baca kenyataan itu. Hajiji juga ahli parti, dia pemimpin di bawah BERSATU dan tentu sekali beliau ada dalam PN.

“Kita tak nak ada pergeseran sesama kita. Saya ambil maklum pandangan beliau. Ronald penyandang kerusi dan Naib Presiden BERSATU, selain memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

“Atas sebab ini, kita beri watikah untuk beliau bertanding dengan keputusan dipersetujui Majlis Tertinggi,” katanya.

Muhyiddin berkata, keputusan PN mengemukakan Ronald sebagai calon tidak menjadi isu, malah secara tidak langsung membawa kepada situasi menang-menang untuk BERSATU dan GRS.

“PN dan GRS seperti adik beradik. Kami hanya bagi peluang (kepada Ronald) bukan beri jaminan dia akan menang atau sebaliknya.

“Saya bukan nak lindungi kedudukan Ronald sahaja tetapi turut melindungi PN. Jika Ronald menang, ia turut memperkukuh kedudukan GRS,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top