KOTA KINABALU: Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar menyifatkan cadangan untuk menaikkan lagi had umur perkahwinan kepada 21 tahun bagi orang Islam di negara ini terutama negeri ini sebagai tidak munasabah.
Utusan Malaysia dalam laporannya memetik Bungsu sebagai berkata, cadangan itu tidak munasabah kerana had umur kematangan lelaki dan perempuan pada zaman sekarang adalah lebih awal ekoran pendedahan kepada dunia luar dan pengaruh media sosial.
“Malah, secara logik had umur mengundi juga sudah diturunkan kepada 18 tahun dan kelayakan bertanding sebagai wakil rakyat juga pada usia 18 tahun.
“Mengapa tiba-tiba apabila berkaitan umur berkahwin, perlu dinaikkan. Tidak munasabah dan berlaku kontra di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Bungsu berkata, anak-anak muda kini cepat matang dan mereka sudah tahu tentang hal ehwal rumah tangga lebih awal, namun tidak pasti sama ada ia dalam konteks negatif ataupun positif.
“Justeru, ada keperluan untuk mereka dibenarkan kahwin awal sekiranya berkemampuan untuk menanggung pasangan,” katanya.
Malah jelasnya, dari sudut syarak, apabila umur sudah baligh maka mereka sudah boleh bernikah kerana dianggap matang.
Beliau memberitahu, had umur perkahwinan di Sabah pada masa ini adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan muslim dan ia harus dikekalkan manakala Mahkamah Syariah juga mempunyai bidang kuasa membenarkan perkahwinan bawah umur daripada 16 dan 18 tahun.
Jelas beliau, setakat ini tiada penetapan had umur perkahwinan di Sabah kerana semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan penyeragaman had umur berkahwin.
Walau bagaimanapun, cadangan itu masih tergantung dan kerajaan negeri masih belum menerima sepenuhnya cadangan berkenaan.